fbpx
ZETI melancarkan buku karya arwah ibunya, Allahyarham Azah Aziz yang merupakan bekas tokoh budayawan negara terkenal negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Usaha Zeti terjemah buku arwah ibu berkisar busana Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi menjadi salah satu medium buat orang Melayu di negara ini untuk memperaga dan menggayakan busana tradisional Melayu.

Justeru, sebagai meraikan keunikan pakaian Melayu, sebuah buku karya hebat Allahyarham Azah Aziz yang bertajuk Rupa dan Gaya: Busana Melayu kini diterbitkan dalam edisi bahasa Inggeris dengan tajuk Malay Textiles and Costumes: Form and Style.

Dalam karya itu, Azah mengambil daya usaha menghimpun dan mengumpulkan ciri-ciri, unsur-unsur, sifat-sifat, adat resam dan artifak yang dirasakan dapat memancarkan nilai-nilai keindahan yang menjadi warisan orang Melayu sejak zaman silam.

Majlis pelancaran edisi bahasa Inggeris itu telah diadakan bulan lalu oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Tita Publications dengan kerjasama penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Untuk makluman, Rupa dan Gaya: Busana Melayu pertama kali diterbitkan oleh penerbit UKM pada tahun 2006, sebagai sumbangan penting dalam usaha mengkaji dan menghargai tekstil dan busana tradisional Melayu.

Ia sekali gus memainkan peranan penting dalam pemeliharaan warisan di seluruh negara.

Pada dasarnya, kandungan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berkisar busana dan tekstil Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu dan juga bidang-bidang kesenian lain yang ada kaitan dengannya.

Penelitian mendalam buku tersebut terhadap sejarah serta aspek sosial dan estetika tekstil telah memberi inspirasi kepada para pereka, pendidik dan penggerak budaya dalam usaha memelihara warisan busana Melayu.

Zeti yang merupakan anak arwah Azah berkata, karya tersebut merupakan terjemahan rasa cinta ibunya terhadap tradisi Melayu.

“Arwah ibu saya telah membangkitkan komitmen kepada pemeliharaan budaya dalam kalangan ramai insan menerusi Rupa dan Gaya.

“Kajian terperinci dan rasa cintanya kepada tradisi Melayu telah merintis jalan untuk generasi masa depan menghargai dan menghayati warisan budaya kita.

“Hasil karya ini bukan sahaja mengenai seni tekstil dan pakaian, tetapi menelusuri jiwa identiti Melayu, keseniannya dan kepentingan memelihara amalan budaya dalam dunia serba moden ini,” katanya.

Karya garapan arwah Azah bukan sahaja menyentuh rupa dan gaya tekstil serta busana tradisional, bahkan menjadi perintis yang mencatatkan dan meraikan perincian tekstil Melayu. 

Karya itu juga memberikan pencerahan tentang aspek sejarah dan sosial dan estetika busana yang dikaji.

Buku beliau menyampaikan kisah menarik tentang kekayaan warisan tekstil dan pakaian Melayu yang menjadi sumber akademik dan penghayatan tulus ikhlas tentang kemampanan tradisi Melayu.

Kajian tokoh budayawan negara itu juga bukan sahaja memaparkan keindahan tekstil tenunan tangan dan pakaian tradisional, tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya kemahiran itu untuk diturunkan kepada generasi akan datang untuk mengekalkan warisan ini.

Dalam tempoh sedekad lepas, Zeti juga telah menerajui usaha untuk menterjemahkan buku arwah ibunya ke dalam bahasa Inggeris. Berkat kegigihan dan kesungguhannya, terjemahan ini akan membolehkan kajian berharga itu untuk melangkaui sempadan global.

Edisi Bahasa Inggeris Rupa dan Gaya juga membolehkan dunia busana, budaya dan penulisan Melayu diperhalusi oleh pembaca bukan Melayu, menjadikannya sebagai satu rujukan penting bagi para cendekiawan, kurator muzium dan peminat tekstil di seluruh dunia.

Terjemahan itu mengekalkan keaslian karya asal sambil memastikan nuansa budaya dan kepentingan warisan Melayu difahami di peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN