fbpx
SELAIN berkomunikasi, AI juga dapat mengenal pasti tahap emosi haiwan berdasarkan reaksi muka dan pergerakan badan.

AI bantu manusia ‘berkomunikasi’ dengan kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINDAKAN kucing yang suka menggeselkan badan, mengiau atau gerakan badan tertentu mempunyai makna tersendiri, namun sukar difahami oleh manusia. Tentu sahaja sebagai pemilik, kita akan tertanya-tanya tentang makna di sebalik semua itu kerana ingin memastikan tahap kesihatan ‘si bulus’ terpelihara.

Bagaimanapun, sebagai manusia biasa mustahil untuk memahami apa yang cuba diperkatakan oleh kucing apatah lagi berkomunikasi secara normal.

Namun, perkembangan digital dengan wujudnya kecerdasan buatan (AI), dipercayai dapat membongkar makna di sebalik vokal dan pergerakan fizikal haiwan itu.

Memetik laporan The Guardian, para saintis sedang berusaha menggunakan AI bagi membolehkan manusia memahami apa yang diperkatakan oleh kucing mereka.

Menurut Pakar Veterinar Universiti Lincoln United Kingdom, Profesor Daniel Mills, AI bukan sahaja mampu menterjemahkan makna mengiau kucing, tetapi mampu memahami reaksi wajah dan pergerakan badan.

“Kami boleh menggunakan AI untuk mengajar mengenai pelbagai perkara tentang haiwan.

“Berdasarkan kajian, kucing menghasilkan pelbagai ekspresi muka apabila berinteraksi dengan manusia selain dianggarkan kucing memiliki 276 ekspresi muka apabila mereka berinteraksi dengan kucing lain,” katanya.

Bagaimanapun, ekspresi muka yang dihasilkan mereka terhadap manusia berbeza ketika berkomunikasi dengan haiwan sesama jenis.

Mills turut memberitahu, penyelidikan yang dilakukan dengan teknologi baharu itu berusaha untuk mengenal pasti terperinci rahsia disebalik ekspresi wajah kucing dengan cara memindahkan data menggunakan AI.

“AI akan digunakan untuk memahami ciri khusus seperti kedudukan telinga yang menjadi salah satu cara kucing mempamerkan emosi. Pendekatan teknologi moden ini mampu memberikan dimensi baharu kepada kehidupan manusia.

KUCING dikatakan mempunyai 276 ekpresi wajah ketika berinteraksi dengan kucing lain.

“Kucing merupakan haiwan yang kaya dengan ekspresi muka. Justeru, AI akan cuba untuk menterjemahkan dengan kemahiran janaan imej.

“Tidak dinafikan kajian ini satu perkara rumit, tetapi hasilnya pasti akan memuaskan,” katanya.

Sebagai penyelidik, Mills optimis dalam usaha untuk memahami perkara yang dilakukan oleh haiwan peliharaan. Baginya, haiwan sentiasa berusaha untuk berkomunikasi dengan manusia, namun cara yang digunakan berbeza dan memerlukan kemahiran tinggi untuk memahaminya.

Ulasnya, kegunaan AI bukan sahaja untuk berkomunikasi, tetapi memudahkan pemilik mengetahui sama ada haiwan kesayangan mereka berada dalam kesakitan atau tidak.

“AI juga boleh membantu para veterinar untuk membuat pemeriksaan kesihatan harian dengan lebih mudah dan mengetahui tahap emosi haiwan,” ujarnya.

Selain Mills, Profesor Bersekutu Ekologi dan Evolusi Universiti Copenhagen, Denmark, Dr. Elodir Briefer turut melakukan penyelidikan ke atas sekumpulan khinzir untuk memahami emosi haiwan tersebut.

Ujarnya, cara itu dapat membantu penternak untuk memelihara haiwan ternakan dengan lebih baik di ladang.

“Sekiranya reaksi negatif meningkat (emosi haiwan tidak stabil), penternak boleh membuat pemeriksaan.

“Teknologi AI membantu untuk mendapatkan data bukan hanya berdasarkan suara, tetapi turut melibatkan ekspresi muka dan pergerakan badan. AI juga boleh menterjemah data yang diterima kepada bentuk audio dan visual bagi memudahkan penternak untuk memahami haiwan,” katanya.

Di samping itu, Briefer turut melakukan beberapa kajian ke atas haiwan lain seperti kuda belang, badak sumbu dan burung bayan untuk memahami cara komunikasi dan panggilan agar dapat digabungkan dalam sejenis sintaks asas untuk menyampaikan maklumat.

“Ia akan membantu kami untuk mengetahui bagaimana haiwan ini menghasilkan bunyi sebagai bahasa, sekali gus medium untuk berkomunikasi,” ujarnya.
Teknologi AI itu diyakini dapat mengubah persepsi dan fahaman manusia tentang komunikasi haiwan selain meningkatkan pemuliharaan hidupan liar dan kebajikan haiwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN