KENAIKAN kos sara hidup semakin menekan kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam situasi ekonomi yang mencabar ini, gambaran belia menikmati hidangan mi segera bukan sekadar pilihan mudah, tetapi lambang realiti pahit bagaimana mereka bertahan.
Kehidupan yang sepatutnya penuh warna kini terjejas dengan keterbatasan kewangan, mendorong mereka mengutamakan kelangsungan hidup berbanding keselesaan.
Bukan hanya dalam pemakanan, namun corak perbelanjaan harian turut mengalami perubahan ketara.
Jika dahulu, makan di restoran atau membeli kopi premium menjadi kebiasaan, kini trend itu digantikan dengan pilihan bajet seperti mi segera atau makanan olahan.
Situasi ini menjadi simbol bagaimana inflasi memaksa generasi muda menyesuaikan diri dengan realiti mencabar.
Pengurangan kualiti pemakanan boleh mendatangkan risiko kesihatan jangka panjang, sekali gus menambah beban kewangan untuk rawatan kelak.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh melihat situasi itu sebagai tekanan ekonomi berpanjangan.
Katanya, kenaikan kos sara hidup memberi kesan signifikan terhadap corak perbelanjaan belia, terutamanya dalam pemilihan makanan.
“Generasi muda kini lebih cenderung kepada alternatif bajet seperti mi segera. Ini langkah yang dilihat membantu mengawal perbelanjaan, tetapi mengorbankan nilai pemakanan.
“Perubahan gaya hidup terutama dalam pemakanan dan perbelanjaan harian ialah sebagai respons terhadap tekanan kewangan yang makin meningkat,” jelasnya.
Noorizuddin berkata, inflasi yang berterusan memaksa belia untuk mengutamakan keperluan asas.
“Tabiat ini menunjukkan keutamaan generasi muda kini lebih tertumpu kepada makanan, pengangkutan dan utiliti, manakala perbelanjaan untuk hiburan atau gaya hidup sering kali dipotong.
“Kajian juga mendapati kategori perbelanjaan seperti makanan dan pengangkutan paling terkesan akibat inflasi.
“Dengan peningkatan harga barangan, belia terpaksa beralih kepada pilihan yang lebih mampu milik meskipun kualitinya kurang memuaskan,” tuturnya.
Tambahnya, mi segera dan makanan bajet lain dalam kalangan belia bukan semata-mata tanda krisis ekonomi individu, tetapi pilihan menyesuaikan diri dengan kekangan kewangan.
“Ia strategi untuk mengekalkan kehidupan dalam situasi kos sara hidup yang semakin tinggi, namun tetap menonjolkan isu sistemik, iaitu gaji yang tidak setara dengan kos kehidupan.
“Ketidakpadanan antara pendapatan dan perbelanjaan asas menjadikan belia terpaksa mengorbankan beberapa keperluan penting seperti pemakanan yang sihat dan berkhasiat.
“Dalam jangka panjang, keputusan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada kualiti kehidupan, termasuk dari segi kesihatan fizikal dan mental,” tegasnya.
Untuk menangani isu ini, Noorizuddin mencadangkan pihak berwajib meningkatkan kadar gaji minimum dan menyediakan program pembangunan kemahiran.
Sarannya, pendidikan kewangan perlu dijadikan keutamaan untuk membantu belia merancang perbelanjaan secara bijak.
“Generasi muda perlu dilengkapi dengan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dan gaji lebih baik.
“Rancang bajet, bezakan keperluan dan kehendak serta mencari pendapatan tambahan antara langkah yang boleh diambil,” katanya.















