Saudara pengarang,
Baru-baru ini saya lalu di satu kawasan kampung di Selangor. Sememangnya kawasan itu terkenal dengan jualan di tepi jalan terutama pada musim buah-buahan.
Semua maklum bahawa ketika ini merupakan musim durian sama ada jenis kampung atau kacukan seperti musang king, tupai king, teka, udang merah, D24, black thorn dan lain-lain.
Melihatkan begitu banyak gerai durian di tepi jalan, saya tercari-cari penjual mana yang bertuah akan merasa duit saya kerana hampir kesemua mereka tidak meletakkan tanda harga.
Susunan buah begitu banyak dan duit jualan pun bertimbun tetapi tanda harga tidak diletakkan. Jualan tanpa tanda harga merupakan satu kesalahan dan ia boleh diibaratkan merompak duit pelanggan tanpa disedar.
Apa tidaknya, apabila kita sudah berhenti dan bertanyakan harganya, sudah tentu kita akan malu alah untuk beredar sekiranya apa yang dimaklumkan itu tidak kena dengan selera bajet kita.
Hendak tak hendak, terpaksalah beli walaupun sebiji. Ia tidak akan terjadi sekiranya kita tahu pada awal harga jualan berdasarkan tanda harga.
Kepada penjual durian yang meletakkan tanda harga, anda memang bertanggungjawab. Penjual yang sengaja tidak mahu tulis harga, ketahuilah bahawa anda adalah perompak wang pelanggan.
Peminat durian,
Lipat Kajang, Melaka














