fbpx
Anggota dan pegawai polis membawa Muhammad Faryzuan untuk didakwa atas pertuduhan merogol dan merompak seorang remaja di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA/KOSMO!

Mekanik perkosa, rompak remaja ketika joging dipenjara 20 tahun, tujuh sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Perbuatan kejam seorang mekanik yang memukul, merogol dan merompak seorang remaja berusia 15 tahun ketika berjoging di Tumpat dekat sini pada bulan lalu berbalas selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan.

Tertuduh, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun sebulan dan sebelum merogolnya telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh telah melakukan rompak ke atas sebuah telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik kanak-kanak perempuan itu dengan bersenjatakan senjata maut iaitu sebatang kayu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kawasan semak Kampung Mesira, Palekbang dekat Tumpat kira-kira pukul 7.40 pagi pada 17 Jun 2026.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman yang setimpal kerana tertuduh melakukan dua kesalahan iaitu merompak telefon bimbit sebelum menyebabkan kecederaan dan merogol mangsa.

“Pukulan yang kuat pada bahagian belakang dan muka dengan sebatang kayu menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan parah sebelum tertuduh bertindak merogol remaja itu.

“Mangsa juga memakai pakaian dan tudung labuh semasa berjoging, namun tertuduh masih tergamak untuk melakukan perbuatan itu. Tertuduh juga menjual telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa pada harga RM35 di sebuah premis sekali gus menunjukkan betapa rendahnya maruah remaja itu dengan perbuatannya,” ujarnya.

Muhammad Faryzuan dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dengan alasan perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkapan iaitu pada 7 Julai lalu dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima tahun serta dua sebatan bagi pertuduhan kedua

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara berasingan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman penjara.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, aktiviti seorang remaja berjoging bertukar mimpi ngeri apabila dia dirogol sebelum dipukul dan disamun lelaki di kawasan semak berhampiran tali air di Palekbang, Tumpat pada 17 Jun lalu.

Mangsa yang berusia 15 tahun cedera pada muka, kepala dan badan sebelum ditemui orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 pagi.

Siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an mencari anaknya pada pukul 10 pagi berikutan remaja itu tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah pada pukul 7 pagi pada hari tersebut.

Mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar selain mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan.

Siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang tidak dikenali memukul mangsa pada bahagian muka dan kepala dengan menggunakan sebatang kayu. Mangsa dirogol di lokasi kejadian sebelum telefon bimbitnya dilarikan suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN