fbpx
Gambar hiasan

Lambakan durian import tidak berasas, FAMA tingkat intervensi pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya berlaku lambakan durian import dari negara jiran sehingga menjejaskan pasaran tempatan dan pendapatan pekebun kecil adalah tidak berasas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, jumlah import durian dari Thailand hanya sekitar dua peratus berbanding keseluruhan pengeluaran durian tempatan, malah kuantiti import turut menurun dengan ketara tahun ini.

Menurut beliau, berdasarkan data Sijil Pematuhan (Certificate of Compliance, COC) menerusi Sistem e3P Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), import durian dari Thailand bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 merekodkan penurunan sebanyak 36.67 peratus.

“Import durian menurun daripada 6,606.86 tan metrik bagi tempoh sama tahun lalu kepada 4,184.58 tan metrik tahun ini, sekali gus mengesahkan kemasukan durian import adalah terkawal tanpa sebarang lambakan.

“Cabaran utama ketika ini berpunca daripada peningkatan pengeluaran durian tempatan sepanjang musim puncak antara Jun hingga Ogos yang menyebabkan lebihan bekalan dalam pasaran,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Niran Tan Kran berhubung langkah kerajaan menangani isu lambakan durian dari negara jiran yang didakwa menjejaskan pasaran tempatan.

Foong Hin berkata, bagi mengimbangi pasaran, FAMA melaksanakan strategi kawal selia import selain menggerakkan Pelan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 bagi menyerap lebihan bekalan durian.

Katanya, FAMA turut menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008 yang meliputi pemasaran di peringkat domestik, eksport dan import. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN