KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) melancarkan CIMB Private Wealth, segmen pengurusan kekayaan baharu yang direka khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan berpendapatan tinggi di seluruh ASEAN menerusi penyelesaian kewangan dan khidmat nasihat yang diperibadikan.
Pelancaran itu selaras dengan aspirasi Forward30 CIMB Group, yang menyasarkan untuk menggandakan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) kekayaannya menjelang tahun 2030.
Ia menyasarkan individu dengan AUM bernilai sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding CIMB Preferred yang menetapkan nilai lebih rendah iaitu RM250,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan, CIMB Group, Haniz Nazlan berkata, landskap pengurusan kekayaan kini semakin kompleks berikutan peningkatan pemindahan kekayaan antara generasi dan pertumbuhan pesat golongan berpendapatan tinggi di ASEAN.
“Kami melihat pelanggan bukan sahaja memerlukan pengurus aset, tetapi rakan strategik yang mampu membimbing mereka dalam setiap keputusan kewangan penting, termasuk mengembangkan kekayaan, melindungi aset dan merancang pewarisan legasi.
“Ini disokong kehadiran lebih 600 cawangan dan pengurus perhubungan kami di seluruh ASEAN,” katanya pada majlis pelancaran di sini.
Pelanggan CIMB Private Wealth akan mendapat akses kepada rangkaian penyelesaian pengurusan kekayaan yang eksklusif, komprehensif dan disusun secara khusus merangkumi pelaburan serta perlindungan yang disesuaikan mengikut matlamat kewangan dan profil risiko masing-masing.
Mereka turut menerima khidmat nasihat yang diperibadikan melalui Pengurus Perhubungan Kanan dan Penasihat Pelaburan Kanan bertauliah, disokong oleh semakan portfolio Chief Investment Office CIMB, strategi peruntukan aset serta pandangan pasaran, termasuk kemudahan nasihat digital menerusi perkhidmatan MyWealth dalam aplikasi perbankan digital CIMB OCTO.
Menurut Haniz, ASEAN kini berkembang sebagai ekonomi bernilai kira-kira AS$4 trilion (kira-kira RM16.28 trilion), dengan pertumbuhan sekitar empat peratus setahun, manakala populasi individu berpendapatan tinggi di rantau ini dijangka meningkat antara lima hingga enam peratus.
Menjelang 2030, golongan kelas pertengahan diunjurkan merangkumi sekitar 65 hingga 70 peratus daripada jumlah penduduk ASEAN, sekali gus mewujudkan pemindahan kekayaan antara generasi terbesar dalam sejarah rantau ini.
Pada Januari lalu, CIMB telah melancarkan perkhidmatan Private Wealth di Indonesia, yang bakal disusuli pelancaran di pasaran Thailand dan Singapura, dijadualkan pada tahun ini. -KOSMO! ONLINE














