fbpx
Jentera Golf GTI ini dikuasakan dengan enjin 2.0 liter turbo.

Kepekaan pintar ‘hot hatch’ Golf GTI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOLF GTI ialah sebuah ikon yang tidak perlu diperkenalkan lagi di mana ia merupakan sebuah hot hatch yang menawarkan prestasi penuh kuasa dan pengalaman pemanduan terbaik.

Hot hatch adalah merujuk kepada jentera hatchback berprestasi.

Untuk model terbaharu 2024, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Golf GTI yang dinaik taraf, lengkap dengan sistem audio Harman Kardon dan ciri paparan head-up display (HUD).

Sistem audio premium Harman Kardon 480-watt meningkatkan lagi suasana dalaman GTI dengan 10 unit pembesar suara.
Ia mampu memberikan pengalaman bunyi keliling mengasyikkan kepada pemandu selain akustik yang mengagumkan.

Menariknya Golf GTI, jenama dari Jerman itu menggabungkan aspek keselamatan dan kepekaan yang pintar serta paparan HUD memaparkan pelbagai maklumat penting pada ruang pandangan pemandu.

Maklumat-maklumat penting seperti kelajuan, navigasi dan sistem amaran memastikan pemandu sentiasa peka dan melihat informasi tersebut tanpa perlu mengalihkan mata mereka dari jalan raya di hadapan.

Hot hatch itu disempurnakan dengan IQ. Drive yang merupakan satu Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) yang inovatif berfungsi membantu membuatkan perjalanan atau pemanduan lebih selamat dan selesa.

Antara ciri-ciri keselamatan itu termasuk Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menggunakan radar serta pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan.

Dalam masa sama, ciri Side Assist bertindak sebagai pemantau titik buta aktif, manakala Rear Cross Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu jika wujud bahaya apabila gear undur diaktifkan.

Ukuran panjangnya 4,287mm.

Model itu juga hadir bersama Front Assist yang merupakan ciri-ciri Autonomous Emergency Braking (AEB) yang menggunakan satu unit sensor radar berintegrasi pada bahagian hadapan kenderaan untuk sentiasa memantau jarak kereta di depannya.

Selain mengesan kenderaan, versi terbaharu Front Assist turut mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan.

Fungsi Lane Assist pula memastikan pemandu sentiasa berada dalam laluan yang betul dengan menggunakan ciri bantuan pengekalan lorong berasaskan kamera.

Sekiranya kenderaan bergerak ke lorong lain ketika lampu isyarat membelok digunakan oleh pemandu, sistem ini akan berfungsi secara automatik dengan menarik semula stereng kembali ke lorong yang betul.

Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi Adaptive Lane Guidance yang memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah lorong setelah sistem belajar daripada corak pemanduan pemandu.

Dari segi rekaan, Golf GTI ini mudah dikenali menerusi jeriji gril hadapan jenis ‘honeycomb’ sarang lebah dan kemasan GTI berwarna merah.

Model ini juga hadir dengan lampu kabus rim aloi Richmond bersaiz 18 inci yang sporty dengan tayar 225/40 dan angkup brek berwarna merah.

Lampu utama hadapan dan belakangnya jenis LED, cermin sisi boleh laras dengan ciri-ciri pemanas.

Dari segi ukuran, panjang Golf GTI ini ialah 4,287 milimeter (mm), lebar (1,789mm), tinggi (1,444mm) dan jarak antara roda ialah 2,631mm.

Masuk ke ruang kabin, model menarik ini hadir dengan dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan ketersambungan yang lancar.

Ciri-ciri itu termasuk Digital Cockpit bersaiz 10.25 inci generasi baharu dengan pelbagai tema warna dan pandangan.

Tidak ketinggalan stereng multifungsi dengan kawalan sentuh haptic dan ciri pemanas yang dapat menyegarkan pemandu sekiranya memandu untuk tempoh yang lama.

Sistem infotainment dengan skrin sentuh bersaiz 10 inci juga hadir dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Golf GTI ini hadir dengan penghawa dingin tiga zon Climatronic dan boleh diubah suhu dengan butang sentuhan atau kawalan suara.

Pemanduan kenderaan ini menjadi lancar dengan pelbagai ciri serta fungsi yang inovatif dan memudahkan penglihatan.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan jenis separa buket juga hadir dengan sulaman logo GTI menaikkan lagi mod hot hatch ikonik ini.

Satu lagi ciri menarik ialah akses pantas kerana pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci dikesan berada pada zon berhampiran.

Dari segi kuasa, jentera Golf GTI yang berprestasi ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo dengan transmisi tujuh kelajuan DSG.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 245PS dan tork tertinggi 370Nm.

Dalam masa yang sama, model ini juga menawarkan penggunaan petrol sekitar tujuh liter untuk perjalanan 100 kilometer (km).

Golf GTI itu didatangkan dengan penyelenggaraan percuma selama lima tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Kesimpulannya, Volkswagen Golf GTI ini sememangnya sebuah kereta ikonik yang popular di dunia.

Hot hatch ini miliki peminatnya tersendiri dan penulis melihat ia masih lagi relevan dalam era transformasi kenderaan elektrik dengan model terbaharu yang sentiasa ditambah baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN