fbpx
SESUAI dengan perubahan gaya hidup, Yaris Cross yang dilancarkan baru-baru ini ditawarkan dalam dua varian iaitu petrol dan hibrid.

Evolusi Yaris, dari ‘hatchback’ bandar ke SUV kompak moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOYOTA Yaris bukan nama asing dalam pasaran automotif Malaysia. Selama lebih dua dekad model ini berkembang sebagai sebuah hatchback kompak sekitar era 2000-an.

Yaris ketika itu terkenal sebagai kereta bandar yang praktikal, jimat minyak dan mudah diselenggara serta berjaya membina kelompok peminat tersendiri.

Namun landskap automotif global mula berubah, pengguna tidak lagi fokus kepada hatchback tradisional, sebaliknya beralih kepada crossover dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang dianggap lebih praktikal serta bergaya.

Trend tersebut turut berlaku di Malaysia apabila terdapat permintaan tinggi terhadap model SUV kompak yang menawarkan posisi pemanduan lebih tinggi, ruang kabin lebih fleksibel dan imej lebih premium.

Atas sebab itu, Toyota membawa nama Yaris ke arah baharu menerusi pengenalan Yaris Cross, model ini menjadi simbol evolusi Yaris daripada hatchback bandar kepada SUV urban moden dan diposisikan di bawah Corolla Cross.

Model baharu tersebut dilancarkan secara rasmi oleh UMW Toyota Motor (UMWT) pada minggu lalu sebagai SUV kompak segmen B pertama Toyota di Malaysia.

Menariknya, SUV dengan konfigurasi lima tempat duduk itu ditawarkan dalam dua varian iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan hibrid elektrik (HEV).

Toyota Yaris Cross 1.5S (petrol) dijual pada harga RM99,900 dan Toyota Yaris Cross 1.5S (HEV) RM109,900 dan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Bukit Raja, Selangor.

Pengenalan Toyota Yaris Cross HEV sekali gus menyertai Toyota Corolla Cross HEV dan Toyota Vios HEV dalam keluarga elektrifikasi Toyota di Malaysia.

Dari segi reka bentuk, Yaris Cross tampil dengan karakter SUV moden yang lebih tegap menerusi garisan badan lebih tajam, gril trapezoid berkembar, fender lebar serta rim aloi bersaiz 18 inci.

Walaupun menampilkan imej SUV yang lebih maskulin, dimensinya masih kompak dan sesuai digunakan dalam persekitaran bandar yang padat.

Rekaan dalaman menampilkan susun atur moden dengan gabungan kemasan lembut dan aksen satin pada kokpit.

Mengenai prestasi, Yaris Cross varian petrol menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder 2NR-VE bersama transmisi CVT yang terkenal dengan karakter pemanduan lancar serta kos pemilikan rendah untuk kegunaan harian, varian ini menghasilkan kuasa 106PS dan 138Nm tork.

Sementara itu, versi hibrid dipadankan dengan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang menggabungkan enjin 1.5 liter empat silinder 2NR-VEX bersama motor elektrik.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa 91PS dan 121Nm dengan motor elektrik menyumbang 80PS dan 141Nm menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 111PS.

Sistem ini membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi karbon.

Toyota mendakwa penggunaan bahan api antara 27.8km per liter hingga 33.3km per liter berdasarkan ujian dalaman Toyota.

Dengan dimensi panjang 4,310mm dan lebar 1,770mm, Yaris Cross 2026 menawarkan ruang kabin luas untuk sebuah SUV Segmen B.

Kapasiti ruang but pula seluas 471 liter dengan tambahan ruang simpanan bawah lantai sedalam 200mm.

Ruang tersebut dikatakan mampu memuatkan sehingga enam beg bagasi saiz sederhana atau sebuah basikal apabila kerusi belakang dilipat.

Meninjau ruangan kabin, Yaris Cross menampilkan susun atur moden dengan gabungan kemasan lembut, aksen satin pada kokpit dan stereng balutan kulit bagi mewujudkan suasana lebih premium.

Rona dalaman menampilkan tema ‘Blue-Black’ yang memberikan aura moden dan sporty, khususnya pada varian HEV.

Model ini dilengkapi paparan meter digital TFT tujuh inci, pencahayaan ambien empat tahap serta sistem infotainment skrin sentuh 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Aspek keselamatan turut menjadi fokus utama pembangunan Yaris Cross dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dan Toyota Safety Sense seperti bantuan kekal lorong, pemantauan trafik hadapan dan bantuan penglihatan ketika pemanduan malam.

Kesimpulannya, kehadiran Yaris Cross mencerminkan perubahan gaya hidup pengguna moden yang mahukan gabungan gaya, praktikaliti dan teknologi dalam satu pakej lengkap.

Ia bukan sekadar pengganti kepada Yaris hatchback tetapi evolusi baharu yang lebih matang dan relevan dengan trend semasa pasaran automotif negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN