DALAM landskap automotif ke arah elektrifikasi, teknologi plug-in hybrid (PHEV) muncul sebagai solusi peralihan paling praktikal.
Chery Tiggo 8 yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu menjadi model yang menarik perhatian kerana ia bukan sekadar kenderaan utitiliti sukan (SUV) keluarga bersaiz besar tetapi turut dilengkapi teknologi hibrid terkini.
SUV dengan konfigurasi tujuh tempat duduk itu menggabungkan kecekapan elektrik dan fleksibiliti enjin petrol.
Ini sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
Tiggo 8 PHEV dibangunkan dengan platform Chery Super Hybrid (CSH) berasaskan DNA kejuruteraan Tiggo yang kukuh.
SUV dalam segmen C itu bukan sekadar membawa reka bentuk moden dan gaya premium tetapi dengan teknologi PHEV yang mampu menandingi jenama automotif pesaing dari Jepun dan Eropah.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang oleh Chery Malaysia untuk memandu uji Tiggo 8 PHEV selama seminggu untuk merasai pengalaman pemanduan harian dan jarak jauh yang praktikal.
Dengan gabungan bateri penuh dan tangki petrol, Tiggo 8 PHEV dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan keseluruhan sekitar 1,200km.
Sebaik pedal ditekan, Tiggo 8 PHEV ini menyerlah dengan kuasa segera yang diberikan, malah transisi antara mod elektrik dan petrol terasa lembut hampir tanpa sebarang gegaran menunjukkan tahap penalaan sistem hibrid Chery yang matang.
Perjalanan pemanduan penulis bermula dari jalan bandar di Kuala Lumpur melintasi lebuh raya menuju ke Seremban seterusnya melalui jalan kampung dan berbukit di Kuala Pilah.
Ternyata, SUV keluarga ini memberikan keselesaan dengan prestasi menakjubkan apabila pemanduan elektrik sepenuhnya (mod EV) diaktifkan di laluan urban dengan jarak sekitar 90km.
Dengan pemanduan linear tidak terlalu laju atau perlahan, penjimatan bahan api jentera ini terasa apabila enjin petrol mengambil alih perjalanan di lebuh raya dan laluan berbukit.

Bukan sekadar omong kosong, Tiggo 8 PHEV terbukti ‘efisien’ dan sistem hibridnya praktikal untuk pemanduan jarak jauh.
Dari segi kuasa, Tiggo 8 PHEV dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo empat silinder (TGDi) dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT).
Apabila digandingkan dengan motor elektrik berprestasi tinggi, jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 279PS dan tork tertinggi 365Nm dengan kelajuan maksimum 180km/j.
Teknologi elektrifikasi Tinggo 8 PHEV ini menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.3kWh yang membolehkan mod EV sejauh kira-kira 90km cukup untuk kegunaan harian di bandar tanpa petrol.
Apabila digabungkan dengan petrol, SUV ini dikatakan mampu mencapai jarak keseluruhan sehingga 1,200km bagi satu tangki penuh berkapasiti 60 liter.
Untuk pengecasan, bateri ini menyokong pengecasan pantas (DC) yang mampu mengecas dari 30 ke 80 peratus dalam masa kurang 20 minit, manakala pengecasan arus ulang alik (AC) dalam tempoh tiga jam untuk penuh.
Malah, fungsi vehicle-to-load (V2L) turut disediakan dalam SUV ini yang boleh berfungsi sebagai ‘powerbank’ bergerak terutama ketika mengembara atau beriadah bersama kekuarga.
Dengan dimensi 4,725 milimeter (mm) panjang, 1,860mm lebar, 1,705mm tinggi serta jarak antara roda 2,710mm menjadikan Tiggo 8 PHEV berada dalam kelasnya yang memberi keseimbangan antara ruang kabin, kestabilan pemanduan dan praktikaliti keluarga.
SUV ini turut menawarkan ruang but sehingga 1,930 liter sesuai untuk membawa pelbagai barangan harian termasuk peralatan sukan seperti beg golf.
Ketika sesi pandu uji, perkara paling ketara bagi penulis ialah kesenyapan pemanduan dalam mod EV, malah tork segera dari motor elektrik menjadikan gerakan dari pegun terasa ringan dan mudah.
Apabila kelajuan meningkat atau bateri berkurangan, enjin petrol akan beroperasi secara automatik tanpa gangguan ketara.
Di lebuh raya, kestabilan kenderaan berada pada tahap memuaskan dengan suspensi yang ditala untuk keselesaan keluarga, sambil masih mampu mengekalkan keyakinan ketika memotong kenderaan lain.
Sistem brek regeneratif turut membantu menambah semula tenaga ke dalam bateri ketika membrek atau memperlahankan kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem hibrid.
Aspek keselamatan Tiggo 8 PHEV juga menyeluruh dengan dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) selain enam beg udara bagi perlindungan penumpang.
Secara keseluruhan, Tiggo 8 PHEV membuktikan bahawa teknologi hibrid bukan sekadar alternatif sementara, tetapi satu penyelesaian praktikal untuk pengguna masa kini.
Dengan pendekatan teknologi yang matang dan ciri yang menyeluruh, Tiggo 8 PHEV dilihat mampu menjadi pencabar dalam segmen SUV hibrid di pasaran tempatan.
















