PERODUA QV-E kenderaan elektrik (EV) pertama buatan Malaysia dengan kepakaran penuh anak tempatan menjadi simbol permulaan era mobiliti elektrik di negara ini.
Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Perodua atau Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.
Usaha dan komitmen Perodua yang disokong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu membuahkan hasil apabila QV-E berjaya dikeluarkan dalam tempoh 28 bulan dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Disember lalu.
QV-E yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta melibatkan lebih 100 pakar tempatan.
Hadir dalam satu varian, kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik dalam segmen B itu dijual pada harga mampu milik RM80,000 atas jalan raya tanpa insurans.
Dua minggu sebelum dilancarkan, penulis bersama rakan media lain telah diberi peluang untuk melihat secara lebih dekat dan memandu uji QV-E di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.
Penulis tertarik dengan rekaan luaran QV-E yang nampak maskulin dengan sentuhan futuristik tanpa gril menampilkan sisi berani pemiliknya dan siluet sportback.
SUV elektrik ini dipasang dengan lampu berbentuk segi tiga, malah bahagian bampar dan apron bawah juga diberikan rekaan perincian bersegi untuk menyerlahkan wajah agresif EV ini.
Bahagian belakang dengan rekaan lampu bersambung satu jalur lurus di tengah dan diperkemas dengan rim bersaiz 18 inci menjadikan struktur badan EV ini lebih tegap.
Prestasi EV ini menyerlah sebaik penulis menekan pedal minyak, terasa stabil ketika melalui selekoh dan pecutan mencapai 140km/j.
Ketika sesi pandu uji, jalan agak licin disebabkan faktor cuaca, namun sistem brek kenderaan ini agak responsif dan suspensinya berfungsi baik ketika melalui ujian trek dan slalom.
Bagi penulis, cara pemanduan dan keupayaan QV-E tidak jauh beza dengan kereta petrol biasa, menjadikan SUV ini pilihan pengguna yang tidak terlalu ekstrem dengan EV tetapi menyokong mobiliti hijau.

Selain itu, memandu QV-E dengan kerusi yang melekap pada badan dan pelarasan elektrik membuatkan pemandu berasa selesa serta lebih yakin terutama ketika trafik sesak atau perjalanan jauh.
Menariknya, pintu depan SUV elektrik ini jenis terbenam dan perlu ditekan untuk dibuka, manakala pintu bahagian belakang tersembunyi di tepi tingkap.
Dari segi kuasa, QV-E dilengkapi sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa 150kW dan 285Nm tork.
SUV elektrik ini dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 52.5kWh dengan jarak gerak sehingga 445km mengikut kitaran NEDC.
Ia mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 165km/j.
Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC hingga 60kW yang membolehkan pengecasan dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC pula, ia menampung sehingga 6.6kW dan satu kitaran cas penuh yang mengambil masa lapan jam.
Platform yang digunakan dalam QV-E merupakan platform serba baharu yang dibangunkan oleh Perodua bersama syarikat kejuruteraan automotif dari Austria, Magna Steyr.
Meninjau ke dalam kabin, rekaannya minimalis dengan gear jenis rotari, paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dengan sambungan dan capaian penuh dan lampu ambien.
Ia turut dilengkapi dengan pengecas telefon tanpa wayar, rekaan stereng dua jejari dengan bahagian bawahnya rata, butang panggilan kecemasan (ke pusat panggilan Perodua), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Dari segi keselamatan, QV-E ini hadir dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap dua serta sistem pemantauan tekanan tayar, panggilan kecemasan SOS, kamera pandangan sekeliling serta pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).
Sasaran pembeli utama QV-E ini adalah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian atau bersantai.
Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai Battery As A Service (Baas) yang dijual secara berasingan dengan kereta pada kadar sewa RM275 sebulan.
Pengguna boleh menukar bateri secara percuma sekiranya ‘kesihatan’ bateri jatuh di bawah 70 peratus, selain jualan kenderaan QV-E juga adalah melalui platform yang disediakan Perodua untuk menjamin nilai pasaran semula.
Dua pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Ice Blue dan Cavier Grey.
Secara konklusinya, QV-E berada pada kelasnya yang tersendiri sebagai EV pertama buatan Malaysia tanpa kompromi dari segi harga mampu milik dan prestasi yang agak baik berbanding EV pesaing di pasaran.
Sebagai anak Malaysia, kita perlu berbangga dan menyokong visi nasional untuk elektrifikasi kenderaan dan mobiliti lestari.
Bukan sekadar beli EV, tetapi dalam masa sama kita perlu menjadi sebahagian transformasi automotif negara.
















