KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bekas pekerja sebuah syarikat telekomunikasi di Taman Tun Dr Ismail di sini dipercayai melarikan pelbagai peranti elektronik milik majikannya terbongkar selepas semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati sejumlah stok syarikat dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat wakil syarikat berkenaan semalam.
Katanya, kehilangan beberapa unit telefon bimbit dan Apple Watch disedari pihak syarikat selepas semakan dilakukan terhadap rakaman CCTV premis.
“Pengadu turut dimaklumkan oleh seorang kakitangan bahawa stok telefon bimbit dan Apple Watch didapati banyak hilang serta mengesyaki bekas pekerja terbabit mencurinya.
“Siasatan mendapati suspek adalah bekas pekerja syarikat berkenaan dan telah berhenti kerja pada 29 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara barangan yang dilaporkan hilang ialah 12 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit Apple Watch serta wang tunai kira-kira RM550 dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM83,000.
Tambahnya, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, Apple Watch dan sebuah beg yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat.
“Suspek juga mengaku barangan yang dirampas adalah milik syarikat dan memaklumkan sebuah lagi telefon bimbit berada di sebuah kedai di Sungai Buloh untuk dibaiki,” jelasnya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam perkhidmatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














