fbpx

‘Gadis kalung bunga’ dibayar cecah RM5,000 per jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara `gadis kalung bunga' yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen semalam.

KUALA LUMPUR – ‘Gadis kalung bunga’ menerima bayaran RM100 hingga RM5,000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang bergiat aktif hampir dua tahun di premis perniagaan di Jalan Pudu dan Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen (JIM) semalam.

Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Operasi Khas yang bermula pukul 9 malam itu berjaya menahan 52 warga asing berusia 17 hingga 60 tahun.

“Daripada jumlah itu, kita menahan 41 wanita China, tiga wanita Indonesia dan seorang wanita Myanmar.

“Baki selebihnya adalah tujuh lelaki iaitu lima Myanmar, seorang China dan seorang Nepal.

“Dalam pada itu, tiga individu termasuk seorang wanita tempatan berusia lingkungan 31 hingga 50 tahun yang dipercayai sebagai penjaga premis turut ditahan ketika serbuan dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ruslin, pihaknya merampas 36 pasport China, satu pasport Indonesia, peralatan televisyen litar tertutup (CCTV) dan wang tunai sebanyak RM13,830.

“Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warga asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.

“Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM5000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut.

“Transaksi bayaran yang dilakukan oleh pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum perempuan warganegara asing diserahkan kepada pelanggan,” ujarnya.

Katanya, semasa serbuan dilakukan di dua premis ini, ‘gadis kalung bunga’ cuba melarikan diri dan bersembunyi di bawah meja dan pelanggan cuba melakukan provokasi dengan membuat bising serta menghalang pasukan.

“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

“Sementara itu, tiga individu tempatan dipercayai penjaga premis ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 20 lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI