SHAH ALAM – Seorang lelaki diburu selepas aksinya kejamnya mendera seekor anjing dalam sebuah rumah sewa sekitar Seri Kembangan, tular di media sosial.
Rakaman berdurasi 26 saat itu memaparkan suspek bertindak kejam termasuk menghempas haiwan berkenaan ke dinding dan lantai rumah.
Lebih menyayat hati, anjing tersebut dilihat terincut-incut dipercayai akibat kecederaan pada bahagian kaki kanan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (JPV Selangor) memaklumkan pihaknya menerima aduan awam sebelum bertindak menjalankan pemeriksaan, semalam.
Katanya, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan dari JPV Selangor telah memeriksa seekor anjing jantan baka poodle berwarna coklat yang dipercayai menjadi mangsa penderaan seperti dalam rakaman tersebut.
“Usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut subseksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat boleh tampil ke pejabat JPV Selangor atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Muhammad Shuib Anuar ditalian 013-4321512 untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














