AMPANG JAYA – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki dan mengedar dadah jenis syabu di Jalan Mega 7, Taman Mega Jaya di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, tangkapan dilakukan terhadap suspek berusia 23 tahun itu oleh anggota Cawangan Kereta Peronda dari Balai Polis Pandan Indah kira-kira pukul 7.27 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui sembilan paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 9.16 gram.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga dapati positif dadah.
“Semakan rekod lampau pula menunjukkan suspek mempunyai lima rekod kes berkaitan narkotik dan 11 rekod kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dan mengedar dadah di sekitar kawasan Ampang dan Cheras.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














