KUALA LUMPUR – “Saya dipukul, dikurung dan dipaksa kerja scam (menipu).”
Itu antara kandungan mesej terakhir yang dihantar seorang pemuda Malaysia, Kelvin, 24, kepada ibunya mengenai penderitaan dialami di tangan anggota sindiket penipuan di Myanmar.
Ibunya, Goh Fong Kian, 50, berkata, anaknya menghantar mesej tersebut secara rahsia menggunakan telefon syarikat dari bilik kurungan bawah tanah memohon supaya diselamatkan.
Katanya, pada awalnya, pemuda itu ditawarkan bekerja di kasino Thailand dengan gaji lumayan 80,000 Baht sebulan selain komisen tambahan sehingga 100,000 Baht.
“Setibanya di Bangkok, dia dibawa menaiki van dan dipindahkan beberapa kali sebelum dibawa ke kawasan gelap dan menyeberangi sungai menggunakan bot.
“Selepas sampai (Myanmar), dia dipukul, ditutup kepala dengan kain hitam, manakala telefon serta pasportnya dirampas,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Megan Avenue, di sini hari ini.
Menerusi mesej sama, mangsa mendakwa dibawa ke satu kawasan dikenali ‘scam compound’ dan diminta bekerja pada keesokan hari.
Katanya, Kelvin mendakwa dia diugut akan dihukum termasuk renjatan elektrik sekiranya gagal mematuhi arahan atau lewat ke tempat kerja.
“Dia pernah cuba melawan dan enggan bekerja, tetapi dipukul sebelum dikurung dalam bilik bawah tanah dengan kawalan pengawal keselamatan. Sekarang ada pengawal berkawal di luar pintu jadi dia langsung tidak bebas,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa turut mendedahkan kerja yang dipaksa dilakukan adalah penipuan pelaburan yang menyasarkan rakyat China, termasuk menarik orang lain sebagai ‘downline’.
Dalam mesej sama, Kelvin merayu agar ibunya segera membantunya keluar daripada situasi tersebut kerana tidak lagi mampu bertahan dengan tekanan dan penderaan dialami.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pemuda berusia 24 tahun dari Selangor berdepan detik getir apabila sindiket penipuan di Myanmar dipercayai menuntut wang tebusan sekitar RM130,000 bagi membebaskannya dari pusat scam.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa kini terperangkap selepas terpedaya dengan tawaran kerja di kasino Thailand yang menjanjikan gaji lumayan. – KOSMO! ONLINE














