PETALING JAYA – Tawaran kredit percuma, bonus pendaftaran dan janji keuntungan mudah dikesan antara taktik digunakan sindiket perjudian haram untuk memerangkap orang ramai menyertai pertaruhan sempena demam Piala Dunia 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sindiket kini semakin agresif mempromosikan kegiatan tersebut menerusi platform digital dan media sosial bagi memperluaskan rangkaian pelanggan.
Menurut beliau, sindiket lazimnya menggunakan iklan serta promosi menarik dengan menjanjikan pulangan lumayan, bonus pendaftaran, kredit percuma dan kemudahan pertaruhan secara langsung ketika perlawanan berlangsung.
“Mereka turut menggunakan media sosial, aplikasi pesanan dan laman web tertentu bagi menarik pelanggan baharu.
“PDRM turut menyedari trend penggunaan pempengaruh media sosial untuk mempromosikan aktiviti haram ini dan tindakan tegas akan diambil melalui siasatan kerana mempromosikan judi merupakan satu kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dalam sesetengah keadaan, sindiket turut menggunakan ejen atau orang tengah bagi memperkenalkan pelanggan kepada platform pertaruhan yang dikendalikan mereka.
Mengulas jangkaan aktiviti pertaruhan haram sempena Piala Dunia kali ini, M. Kumar berkata, pihak polis menjangkakan peningkatan ketara terutama menerusi medium dalam talian.
Katanya, kejohanan Piala Dunia ke-23 yang bakal berlangsung bermula 11 Jun ini dijangka menjadi medan dieksploitasi sindiket tempatan dan antarabangsa untuk mengaut keuntungan.
“Sepertimana umum sedia maklum, peminat bola sepak seluruh dunia teruja menantikan kejohanan Piala Dunia yang akan disertai 48 negara.
“Di sebalik kejohanan tersebut, PDRM menjangkakan akan berlaku peningkatan aktiviti pertaruhan haram khususnya melalui platform dalam talian,” ujarnya.
Tambahnya, demam bola sepak yang melanda peminat sukan itu sering dimanipulasi sindiket perjudian dengan menawarkan pelbagai bentuk pertaruhan secara mudah dan pantas melalui internet serta aplikasi komunikasi sedia ada. – KOSMO! ONLINE














