fbpx
Hishamuddin Hashim pada sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

Sindiket scam tuntut wang tebusan RM130,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda berusia 24 tahun dari Selangor sedang berdepan detik mencemaskan apabila sindiket penipuan di Myanmar dipercayai menuntut wang tebusan mencecah RM130,000 untuk melepaskannya daripada pusat scam.

Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dikenali sebagai Kelvin, 24 menjadi mangsa sindiket selepas ditawarkan kerja di kasino Thailand dengan gaji lumayan.

Menurutnya, mangsa yang sebelum ini bekerja sambilan di restoran itu hilang tanpa sebarang komunikasi dengan keluarga sejak Oktober 2025 sebelum kembali menghubungi ibunya pada 7 April lalu dari Myanmar.
“Lebih membimbangkan, keluarga dimaklumkan sindiket meminta bayaran tebusan sebanyak RM130,000 jika mahu mangsa dibebaskan.

“Ini menunjukkan modus operandi sindiket bukan sahaja memperdaya mangsa dengan tawaran kerja, malah menjadikan mereka ‘tebusan’ untuk mendapatkan wang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue, hari ini.

Beliau berkata, mangsa pada awalnya ditawarkan pekerjaan dengan gaji sekitar 80,000 hingga 100,000 Baht sebulan sebelum dibawa ke Bangkok dan seterusnya diseludup ke Myanmar melalui laluan sempadan.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas melihat lokasi telefon menunjukkan dia sudah berada di Myanmar sebelum dipukul, ditutup kepala dan dirampas dokumen penting.

Tambahnya, mangsa kini ditempatkan di kawasan Shwe Kokko dalam pusat penipuan yang dikawal individu bersenjata dan dipaksa bekerja sebagai scammer menyasarkan mangsa dari China.

“Ibu mangsa turut menerima mesej menyatakan anaknya kini dikurung di bilik bawah tanah dan berada dalam kawalan ketat pengawal,” ujarnya.

Dalam pada itu, MHO memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya lima lagi rakyat Malaysia dipercayai masih terperangkap di lokasi sama, manakala sebelum ini seramai 22 mangsa berjaya diselamatkan.

“MHO kini sedang menggerakkan usaha menyelamat dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand bagi memastikan semua mangsa dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN