AMPANG JAYA – Dua penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘wheelie’ secara berulang kali sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain ditahan dalam Op Motosikal (OSJ) di sekitar sebuah sekolah menengah di sini, semalam.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, operasi itu dilakukan susulan aduan orang ramai mengenai kegiatan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya di lokasi berkenaan.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman melakukan pemantauan rapi sebelum menahan kedua-dua lelaki itu di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak empat buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 akta sama dan 17 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.
JSPT menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas, khususnya aksi berbahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa orang awam. – KOSMO! ONLINE














