KUALA SELANGOR – Seorang wanita warga emas melecur selepas rumah didiaminya di Kampung Bukit Belimbing di sini terbakar petang tadi.
Kejadian dilaporkan kira-kira pukul 6.30 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor tiba di lokasi 11 minit kemudian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan api memusnahkan kira-kira 30 peratus bahagian dapur rumah tersebut.
“Terdapat seorang mangsa wanita Melayu berusia 60 an melecur tahap satu dan telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarga,” katanya malam ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman melibatkan seramai 10 anggota bersama dua jentera dari BBP Kuala Selangor dengan bantuan BBP Bestari Jaya.
“Api berjaya dikawal pada pukul 6.48 petang, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














