DUNGUN – Dua kanak-kanak berusia empat dan lapan tahun yang dikesan menganiaya seekor kucing pada akhir bulan lalu bernasib baik apabila kes mereka diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Anum Man berkata, Pejabat Pendakwa Raya memutuskan demikian berikutan pelaku merupakan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.
“JPV Terengganu telah menyerahkan kertas siasatan, namun Pejabat Pendakwa Raya diklasifikasikannya sebagai NFA.
“Ia berikutan Seksyen 82 Kanun Keseksaan menetapkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun belum mencapai usia liabiliti jenayah,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online 31 Mac lalu melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu membuat siasatan dakwaan penganiayaan seekor kucing dilakukan dua kanak-kanak yang didakwa berlaku di daerah ini.
Pengarah JPV negeri, Dr. Anun Man berkata, pihaknya telah menerima lebih 300 aduan berkaitan kejadian itu berikutan penularan klip video berkaitan yang berdurasi 18 saat di media sosial.
Sehubungan itu, Anum berkata, JPV Terengganu telah mengambil inisiatif memberi nasihat dan teguran kepada keluarga kanak-kanak terlibat bagi memastikan insiden kekejaman haiwan tidak berulang pada masa depan. – KOSMO! ONLINE














