ISU MyKad palsu bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin menimbulkan kebimbangan apabila membabitkan individu yang berjaya menyusup masuk ke dalam sistem sosial dan ekonomi negara menggunakan identiti tidak sah.
Ini bukan sekadar isu penguatkuasaan biasa, sebaliknya cabaran besar terhadap integriti sistem identiti negara.
Dalam banyak kes yang dibongkar pihak berkuasa, warga asing dipercayai memperoleh MyKad palsu melalui rangkaian sindiket yang menawarkan dokumen tersebut dengan bayaran tertentu.
Dengan identiti yang kelihatan sah, mereka mudah menyamar sebagai warganegara untuk memasuki pasaran pekerjaan tempatan.
Malah, ada antara mereka mampu bekerja dalam tempoh yang lama tanpa dikesan seterusnya menunjukkan masih wujud kelemahan dalam proses semakan identiti di peringkat majikan atau premis pekerjaan.
Akhirnya, boleh mencetuskan persaingan tidak seimbang dengan pekerja tempatan yang mencari rezeki secara sah. Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat sendiri.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, majikan tidak boleh lagi bersandar kepada pemeriksaan fizikal MyKad semata-mata dalam urusan pengambilan pekerja, sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan identiti.
Menurutnya, wujud keadaan apabila sebahagian majikan didakwa sudah mengetahui status sebenar pekerja, namun tetap mengambil mereka bekerja atas faktor keuntungan, keperluan tenaga kerja serta kos yang lebih rendah.
“Apabila berlaku tangkapan, majikan sering beralasan mereka tidak tahu kerana pekerja menggunakan MyKad palsu. Tetapi hakikatnya, elemen kecuaian dan keterlibatan itu tetap boleh disiasat,” katanya kepada Kosmo!.
Tegasnya, majikan sepatutnya mengambil inisiatif membuat semakan silang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan ketulenan kad pengenalan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kegiatan pemalsuan MyKad bukan isu baharu, malah telah berlarutan sekian lama dan memerlukan tindakan menyeluruh serta bersepadu.
“Risikonya sangat tinggi termasuk kemungkinan Malaysia berisiko menjadi hab identiti palsu jika masalah ini tidak dibendung segera kerana mengancam keselamatan negara.
“Individu terbabit boleh melakukan jenayah dan bersembunyi di sebalik identiti palsu, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan suspek sebenar dan membuka ruang kepada jenayah lebih serius,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan sindiket pemalsuan dokumen mengambil kesempatan terhadap kedudukan ekonomi semasa termasuk nilai ringgit untuk menetapkan harga tinggi bagi mendapatkan MyKad palsu.
“Apabila permintaan meningkat, sindiket akan mengambil peluang menjual dokumen tersebut pada harga mahal, menjadikannya satu ‘perniagaan’ yang menguntungkan.
“Penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi tanpa kompromi. Ini ekoran sindiket sentiasa bergerak dan tidak kekal di satu lokasi.
“Jadi, maklumat daripada majikan juga amat penting bagi membantu siasatan dan menumpaskan sindiket yang semakin licik ini,” katanya.














