BALING – Penduduk di daerah ini akan terus mempertahankan kelestarian Gunung Pulai dan Gunung Baling daripada sebarang cubaan membangunkan projek kuari yang mengganggu mereka sejak 2018.
Setakat ini, sebanyak 12 bantahan yang dihantar ke atas projek kuari berdekatan Gunung Pulai yang berketinggian 620 meter itu telah berjaya.
Penduduk mendakwa, sekiranya kuari itu dibangunkan, kebanyakan kerja penduduk sebagai malim gunung, pemilik inap desa dan pengusaha aktiviti pelancongan seperti tapak khemah dan kayak akan terjejas.
Peniaga warung, Muhammad Noor Mohd. Zahari, 47, berkata, kawasan itu akan menjadi ‘pekan mati’ sekiranya kelestarian alam semula jadi di gunung batu kapur tersebut diteroka dan dirosakkan dengan projek kuari.
“Ia menjadi identiti Baling dan jika dicemar, tiada lagi daya penarik di sini. Kami sangat sayangkan keindahan gunung itu jadi kami akan mempertahankannya.
“Ketika ini, ada satu projek kuari yang masih aktif dan penduduk berharap kesan daripada aktiviti itu dapat diminimumkan dan tiada lagi projek lain selepas ini,” katanya.
Menurut Muhammad Noor, mereka hanya menerima projek pembangunan pelancongan kerana itu sahaja sumber pendapatan mereka.
Tambahnya, pekan Baling tidak lagi dilalui pengguna jalan raya yang berulang alik ke Pantai Timur selepas Lebuh Raya Butterworth-Kulim selain Lebuh Raya Timur Barat dari Kupang terus ke Gerik, Perak siap dibina.
“Jadi pelancongan di sini suram. Jika tiada lagi tarikan pada dua gunung itu, pekan Baling akan mati dan tiada pelancong mahu berkunjung ke sini,” katanya.
Malim gunung, Muhammad Baha Mohd. Roslan, 20, berkata, Gunung Baling menyimpan tinggalan arkeologi dan sejarah penting, cerita mitos dan makanan tradisi, daging batang pisang serta kerabu beka.
“Peminat sukan lasak termasuk dari Filipina, Taiwan, Jepun dan Itali juga suka datang ke sini. Gunung itu bagaikan ‘nyawa’ penduduk dan kami mahu ia dikekalkan,” katanya.
Ujar Muhammad Baha, ramai anak tempatan menjadikan aktiviti pelancongan sebagai punca pendapatan tetap atau sambilan.
Hizam Abd. Manaf, 50, dari Pokok Sena, Pulai di sini pula berkata, Baling kaya dengan tempat healing selain Langkawi.
“Kami tidak mahu ada lagi projek kuari di sini kerana ia hanya akan mencemarkan pemandangan, sungai dan lain-lain,” tegasnya.
Pengurus inap desa, Zaiton Saman, 55, berkata, tiada siapa yang mahu datang jika kawasan itu rosak kerana ia kaya dengan keindahan gunung, air terjun serta Sungai Ketil yang cantik.














