fbpx

Aktiviti sosial kurangkan masalah mental pekerja – Niosh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong menerusi program Nur Ramadan Kareem anjuran Niosh di Bandar Baru Bangi, hari ini.

BANGI – Aktiviti sosial yang dijalankan secara gotong-royong di tempat kerja perlu digalakkan kerana ia mampu mengurangkan masalah berkaitan kesihatan mental selain membantu usaha kerajaan untuk merapatkan hubungan antara kaum.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Manivanan Gowin berkata, sebagai contoh, aktiviti penyediaan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan perlu digalakkan kerana ia boleh menarik penyertaan pekerja pelbagai kaum dan latar belakang.

“Majikan atau persatuan pekerja perlu menganjurkan program sebegini kerana ia mampu mengurangkan tekanan perasaan selain membolehkan para pekerja memahami budaya dan menghormati agama rakan sekerja mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Belia yang turut menyertai program penyediaan dan pengedaran bubur lambuk Kesuma Niosh di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Lebih 600 bekas bubur lambuk Kesuma Niosh diedarkan kepada kakitangan Niosh dan orang ramai sempena program Nur Ramadan Kareem anjuran Niosh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program gotong-royong juga mampu mengurangkan tekanan dalam kalangan pekerja serta meningkatkan keharmonian di tempat kerja.

Katanya, semua kaum di Malaysia mempunyai aktiviti sosial menarik serta tidak melibatkan aspek keagamaan yang boleh dijadikan platform untuk menyatukan rakyat terutamanya ketika negara berhadapan pelbagai insiden yang boleh menggugat hubungan antara kaum.

“Aktiviti sedemikian juga selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kepentingan nilai seperti hormat-menghormati, etika dan akhlak dalam membina masyarakat bertamadun.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk menyokong enam tonggak Malaysia Madani iaitu
kemampanan, kesejahteraan, kreativiti, rasa hormat, keyakinan dan belas kasihan, demi membina masyarakat yang inklusif, adil dan sejahtera,” katanya.

Malah, ketika berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, beliau turut menyokong konsep kesederhanaan yang boleh mengurangkan pergeseran antara kaum dan agama akibat sikap melampau sesetengah pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI