fbpx

Kopabas lancar KH-Qurban, I-Telaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN AHMAD SABRI (dua dari kanan) bersama ahli lembaga koperasi Kopabas dan wakil SKM melancarkan penjenamaan produk KH-Qurban dan I-Telaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kangar semalam.

KANGAR – Koperasi Angkatan Bakti Solidariti Perlis Berhad (Kopabas) melancarkan penjenamaan dua jenis per­khidmatannya iaitu KH-Qurban dan I-Telaga bagi meningkatkan keyakinan pelanggan.

Ahli Lembaga Koperasinya, Wan Ahmad Sabri Yusof berkata, Kopabas adalah koperasi ­dibentuk hasil gabungan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia Perlis, Briged Bakti Malaysia Perlis dan Persatuan Solidariti Nasional Perlis sejak Disember 2018.

“Aktiviti utama Kopabas ialah menjalankan perkhidmatan program ibadah korban (KH-Qurban) di Kemboja yang mana memberi peluang kepada ahli dan orang ramai melaksanakan ibadah itu pada harga mampu milik memandangkan harga korban tempatan semakin meningkat.

“Kopabas juga turut menjalankan perkhidmatan projek perigi wakaf (perigi pam) bagi membolehkan masyarakat Islam di kawasan pedalaman Kemboja memperoleh air bersih sekali gus membuka peluang kepada ahli dan orang ramai untuk berwakaf,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penjenamaan perkhidmatan selepas Mesyua­rat Agung Tahunan Kopabas kali ke-6 yang turut dihadiri Bendaharinya, Dr. Radzman Ramli dan wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perlis, Burhanudin Mohd. Noh.

Menurut Wan Ahmad Sabri, sejak lima tahun lalu, Kopabas telah mengorbankan hampir 100 ekor lembu dan membina kira-kira 200 perigi wakaf di beberapa wilayah seluruh Kemboja termasuk Tebung Khmum dan kawasan Cham.

“Aktiviti dilakukan koperasi ini turut mendapat sokongan penuh SKM yang turut menawarkan beberapa kemudahan selain mendapat kerjasama kerajaan Kemboja termasuk pejabat gabenor serta pemimpin masyarakat Islam di sana.

“Tahun ini, Kopabas me­nyasarkan untuk mengorbankan 30 ekor lembu menerusi program KH-Qurban dan membina 50 perigi menerusi projek I-Telaga di Kemboja,” jelasnya.

Tambahnya, Kopabas juga te­lah membuka pendaftaran untuk program KH-Qurban dan I-Telaga kepada ahli koperasi dan orang ramai dengan hanya RM400 untuk satu bahagian korban, manakala RM1,500 untuk satu perigi wakaf.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program KH-Qurban dan I-Telaga tersebut boleh menghubungi Wan Ahmad Sabri di talian 011-1642 7266. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI