KOTA BHARU – Kedua ibu bapa meringkuk dalam penjara merupakan antara salah satu punca pengabaian dan masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, kanak-kanak yang hidup sendirian dan mempunyai masalah keluarga merupakan antara golongan yang sering diabaikan.
Katanya, kebiasannya, ibu kepada kanak-kanak itu penjarakan atas kesalahan jenayah manakala bapanya pula dijel selepas didapati bersalah kes dadah, jenayah seksual dan sebagainya.
“Apabila ada masalah keluarga, pasti anak-anak akan terabai dan kita sedang mencari punca lain yang menyebabkan pengabaian golongan tersebut.
“Selain itu, kurang didikan agama di rumah juga merupakan antara punca pengabaian kanak-kanak yang dikenal pasti. Ada sesetengah kanak-kanak, mengucap dua kalimah syahadah pun tidak pandai,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan kanak-kanak boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan melibatkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Katanya, jika anak-anak terlibat dalam aktiviti berbahaya seperti berlumba motosikal, ibu bapa itu boleh dikategorikan sebagai cuai dan boleh didakwa mengikut seksyen tersebut.
“Apabila ibu bapa atau penjaga didapati bersalah di bawah seksyen itu, hukumannya berat iaitu penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. Timbul pula isu, siapa yang akan menjaga anak-anak itu. Justeru, mesyuarat bersama JPN dijalankan dalam usaha untuk memperkasakan Jawatankuasa Penyelaras Perlindungan Kanak-Kanak bagi mengenal pasti punca pengabaian kanak-kanak di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Beliau berkata, apabila mengenal pasti masalah pada peringkat awal, pihak sekolah akan terus melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara untuk mengambil tindakan pemulihan kepada ibu bapa atau penjaga.
“Ada kajian yang mendedahkan bahawa kanak-kanak yang terlibat isu sosial datang daripada keluarga B40. Jadi, perlu langkah intervensi peringkat awal untuk mengelakkan masalah itu menjadi lebih besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














