TEMERLOH – Dakwaan Barisan Nasional (BN) menggunakan sentimen perkauman dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah tidak berasas apabila rakyat tetap memberikan sokongan kepada calon pelbagai kaum yang bertanding atas tiket gabungan itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan calon MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang mempunyai majoriti pengundi Melayu menjadi bukti rakyat menolak politik berasaskan perkauman.
“Kalau kita lihat di DUN Chennah, calon MCA bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, namun pengundi Melayu tetap memberikan sokongan kepada calon MCA.
“Ini membuktikan kita tidak rasis dan tidak memainkan isu perkauman. Jika kita memainkan isu perkauman, calon MCA di DUN Chennah tidak mungkin memperoleh kemenangan,” katanya selepas merasmikan Apresiasi Pahang First Himpunan 1,000 Pendekar Silat Berbusana dan Berbudaya Daerah Temerloh di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan turut menunjukkan keyakinan rakyat terhadap BN semakin pulih selepas gabungan itu diberikan mandat untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, syukur. Mandat telah pun diberikan. Kini tiba masanya untuk seluruh wakil rakyat yang dipilih membalas kepercayaan tersebut dengan khidmat bakti, kerja yang ikhlas serta komitmen yang tidak berbelah bahagi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan.
“Terima kasih kepada semua pengundi dan juga jentera termasuk jentera daripada Pahang yang telah berhempas pulas sehingga kita memperoleh kemenangan yang cukup istimewa dan bermakna ini,” katanya.
Sementara itu mengulas kemungkinan kerjasama politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang, Wan Rosdy berkata, perkara itu masih belum dibincangkan bagi negeri lain termasuk Pahang.
Katanya, sebarang bentuk kerjasama akan dilihat secara berperingkat mengikut kesesuaian sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. – KOSMO! ONLINE














