SEREMBAN – Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh kepada Anthony Loke Siew Fook untuk terus menerajui DAP Negeri Sembilan sebagai pengerusi, susulan hasrat beliau yang dilaporkan mahu mempertimbangkan peletakan jawatan selepas prestasi parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, berkata semua Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan sebulat suara memohon agar Anthony, yang juga Setiausaha Agung DAP, terus memimpin parti di negeri itu.
“Kekalahan di kerusi Chennah dan Repah memang mendatangkan kekecewaan kepada kami, tetapi ia bukan salah Anthony dan beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kekalahan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Cha berkata, DAP Negeri Sembilan masih memerlukan kepimpinan berkarisma Anthony bagi menghadapi cabaran akan datang, termasuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). – KOSMO! ONLINE














