MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka akan menggunakan pendekatan ‘BN Plus’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tahun ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu membuka peluang rundingan dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan dan kekuatan untuk bersama dalam menghadapi PRN.
“Siapa juga boleh datang berunding (BN Plus) tetapi runding tidak semestinya berakhir dengan perjanjian ataupun persetujuan, ia bergantung kepada kelebihan masing-masing. Kita tidak terikat dalam mana-mana ikatan yang belum dijadikan secara formal sebagai gabungan yang muktamad. Tetapi saya terbuka kepada semua orang untuk datang berunding dengan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di sini, hari ini.
Menurut Ab. Rauf, kejayaan BN dalam mempertahankan kemenangan pada PRN Johor serta keputusan PRN Negeri Sembilan baru-baru ini memberi keyakinan kepada parti itu untuk membawa momentum sama ke Melaka.
“Selepas Pilihan Raya Johor, kemudian Pilihan Raya Negeri Sembilan semalam, pastinya ia menyemarakkan semangat untuk membawa momentum itu ke Negeri Melaka pada pilihan raya akan datang. Melaka bersedia dalam apa juga bentuk gabungan yang kita panggil BN Plus,” katanya.
Ditanya sama ada BN Plus merupakan penjenamaan baharu gabungan politik di Melaka, beliau berkata perkara itu terpulang kepada penilaian pihak masing-masing. – KOSMO! ONLINE














