fbpx
MOHD. FAIZ (kanan) dan Abul Azizi bergambar di premis perniagaan mereka yang menempatkan reban-reban ayam mesra alam.

Reban mesra alam sifar lalat dan wabak penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REBAN ayam mesra alam di kawasan perbandaran bukan suatu perkara yang mudah untuk diwujudkan tanpa ilmu dan pendekatan yang sesuai.

Dalam era isu kebersihan dan penyelenggaraan sisa pepejal menjadi fokus media sosial di kawasan bandar, langkah mengawal selia reban ayam di kawasan tersebut adalah isu yang sensitif.

Menurut seorang penternak ayam dari Puchong, Selangor, Mohd. Faiz Abdul Rahman, 32, komitmen yang tinggi dan penguasaan ilmu penternakan amat dituntut bagi memastikan reban ayam miliknya tidak menjadi punca kacau ganggu bau dan lalat di kawasan setempat.

“Bagi memastikan ayam-ayam yang bakal dipasarkan tidak diserang penyakit berjangkit, ayam-ayam ini akan dipantau sepanjang masa.

“Kita perlu ingat yang kesemua ayam ini berasal dari ladang-ladang ternak di Perak, Melaka dan Pantai Timur maka apabila ia ‘berpindah’ ke sini sebagai transit sebelum dipasarkan, kesihatan ayam-ayam ini menjadi keutamaan kami,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Puchong baru-baru ini.

Reban ayam itu merupakan reban ayam transit yang akan mendiaminya selama kira-kira dua minggu hingga sebulan sebelum dipasarkan.

Mohd. Faiz berkata, dia dan rakan kongsi Abul Azizi Abu Bakar,46, telah mewujudkan ekosistem yang selesa untuk ayam-ayam tersebut tinggal dalam suasana kondusif di reban-reban ayam besi mesra alam yang disediakan.

Jelasnya lagi, kos kira-kira RM2,000 diperuntukkan untuk mewujudkan premis di mana reban-reban tersebut berada seperti di dalam taman.

“Tumbuhan hijau hiasan digantung dengan teratur sekitar premis tersebut seolah-olah reban tersebut adalah kawasan rumah.

“Peranan tumbuhan hijau di dalam pasu-pasu itu adalah bagi menghasilkan gas yang akan memastikan udara persekitaran yang lebih sihat dan tidak berbau busuk,” katanya.

Jelasnya, antara tumbuhan hijau di dalam pasu yang digantung memenuhi kawasan reban melibatkan spesies callisia yellow, boston fern listick,
ficus Iyrata, dieffenbachia starbright dan muraya.

Dalam pada itu jelasnya, selain memastikan keadaan udara lebih bersih dan segar untuk ayam-ayam tersebut, perlindungan daripada terkena strok haba juga perlu diberi perhatian.

“Dalam keadaan cuaca panas kebelakangan ini, air akan dicurahkan di atas atap zink reban-reban ayam bagi mengelakkan unggas-unggas tersebut mengalami strok haba.

“Jika ayam-ayam itu mula mengembangkan kepak itu tandanya suhu badannya sudah naik dan kita akan sejukkan reban setiap tiga hingga empat jam pada waktu siang,” katanya.

Sementara itu, Abul Azizi berkata, permintaan tinggi daripada pengguna mendorong pihaknya untuk memastikan bekalan ayam yang ada dapat dikekalkan tanpa berlaku insiden ayam mati kerana penyakit.

Idea unik mewujudkan sisa dan habuk pokok kayu sebagai lantai tempat ayam bergerak bebas menjadi pemangkin mengelakkan najis mencemari udara.

“Justeru kesemua ayam sentiasa diperiksa secara sistematik untuk mengelakkan kes sampar ayam daripada berlaku dan menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

“Langkah mewujudkan reban ayam yang menjadi transit selesa, bersih dan indah sebelum dibeli oleh peniaga pasar dan individu ini adalah bagi menjamin kualiti terbaik ayam yang bakal menjadi hidangan rendang terbaik untuk musim perayaan,” ujarnya.

Terangnya, idea unik mewujudkan sisa-sisa dan habuk-habuk pokok kayu sebagai lantai tempat ayam bergerak bebas menjadi pemangkin untuk mengelakkan najis unggas tersebut tidak mencemar udara dan mengurangkan risiko lalat menghurung reban ayam.

Sisa-sisa dan habuk kayu yang berada di lantai reban jelasnya, akan memudahkan najis ayam diselenggara dan dilupus sebagai baja pokok kelapa di samping mewujudkan suasana setempat sifar bau yang tidak menyenangkan.

“Pelanggan yang datang berasa pelik dengan keadaan udara di reban ayam di premis ini. Bagaimana kami mengekalkan bau yang tidak busuk.

“Tiada lalat di sini walaupun ada terdapat beratus ekor ayam yang akan menghasilkan tinja setiap masa. Apa yang penting kita mahu pastikan ayam berada dalam suasana selesa sebelum dipasarkan pada bulan puasa dan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN