PETALING JAYA – Tindakan sebuah kedai menjual ayam mentah yang didakwa direndam di dalam tong tangki hitam bersama tikus mengundang rasa jijik dan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kebersihan premis berkenaan.
Perkara itu tular selepas seorang pengguna Threads @shahajiq901 berkongsi rakaman siaran langsung memaparkan beberapa ekor tikus sedang meratah ayam mentah di dalam tong air yang berisi lebih ratusan ayam mentah di sebuah premis perniagaan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan ayam yang tercemar dengan haiwan perosak tersebut telah dibeli dan dimakan pelanggan sebelum ini.
Malah, situasi lebih mengejutkan apabila pempengaruh media sosial, Zarif Syarafuddin menerusi siaran langsung di TikTok malam tadi turut mendedahkan keadaan kedai runcit berkenaan yang didakwa menjual ayam mentah dalam keadaan kotor.
Dalam tinjauan bersama beberapa rakannya ke premis berkenaan, Zarif menunjukkan ratusan ekor ayam mentah yang direndam di dalam beberapa tong tangki berwarna hitam.
Lebih membimbangkan, beberapa ekor tikus turut kelihatan berada di dalam tong sama, malah dipercayai memakan ayam yang direndam di situ.
Menurut Zarif, pekerja asing di premis berkenaan bertindak menutup pintu kedai sebaik menyedari kehadiran mereka yang sedang merakam keadaan premis tersebut.
Siaran langsung itu turut memaparkan seorang pelanggan lelaki yang mendakwa hanya bertugas sebagai penghantar (runner) sedang mengambil stok ayam di premis berkenaan.
Situasi itu sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan penonton siaran langsung terbabit mengenai aspek kebersihan dan status halal produk yang dijual.
Isu berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai memandangkan makanan mentah yang terdedah kepada tikus berisiko dicemari bakteria serta membawa penyakit kepada pengguna.
Rata-rata pengguna media sosial mendesak pihak berkuasa supaya menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu terbukti benar.
“Takut mereka hantar dekat pasar-pasr atau pasar raya yang lain. Jenis tak ada bungkusan,” kata Saiful.
“Geli la nak makan ayam sekarang ini. Memang aku makan ikan je lah hari-hari,” kata pengguma lain.
“Jangan main gila ya, kencing tikus boleh bawa mati. Mana pihak berwajib? Nak rakyat buat kerja juga ke?,” sal @HabirHafa. – KOSMO! ONLINE
@zarif_syarafuddin♬ original sound – zarif syarafuddin
















