JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Johor membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, inisiatif itu membolehkan peniaga yang mempunyai lesen khas simpanan barangan kawalan, meningkatkan kapasiti simpanan.
“KPDN negeri Johor mengambil langkah proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi MTL dengan membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus.
“Barangan tersebut merupakan keperluan asas iaitu barang kawalan seperti beras dan minyak masak,” katanya pada
sidang media selepas merasmikan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di NSK Trade City, Skudai di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, MTL bagi musim 2026/2027 bermula 27 Oktober dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.
Beliau dilaporkan berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara. – KOSMO! ONLINE
















