fbpx

JPBB Miri pantau kawasan kerap terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran tanah gambut di Miri ekoran cuaca panas yang melanda bahagian utara Sarawak.

MIRI – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri kini menguatkuasakan kawalan dan rondaan khususnya di kawasan yang kerap berlaku kebakaran di sini.

Menteri Pengangkutan merangkap menteri bertanggungjawab bagi JPBB Miri, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, ia bagi mengelak kebakaran tanah gambut di sini menjadi lebih serius dan boleh mengakibatkan fenomena jerebu.

“Merujuk kepada situasi kebakaran di Miri, semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh tanah lapang kepunyaan kerajaan sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada Pejabat Meteorologi Miri, bahagian ini kini berada di penghujung Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac ini.

“Miri akan mengalami musim kering iaitu memasuki fasa Monsun Barat Daya yang membawa kepada kadar bilangan hujan yang rendah dan keadaan ini dijangka berlaku sehingga September,” katanya.

Terdahulu, Lee berkata semua agensi di bawah JPBB Miri telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan strategi pencegahan kebakaran tanah gambut.

Katanya, antara strategi itu ialah melalui pengawasan darat serta pemantauan dengan peralatan pengawasan berteknologi tinggi menggunakan ‘thermal drone’ M30T selain penyediaan keperluan fasiliti pemadaman seperti jentera berat dan pam air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI