fbpx

Syarikat ayam gunting di Machang guna ayam sejuk beku seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 6 tan ayam sejuk beku yang dirampas dalam serbuan di sebuah syarikat menjual ayam gunting di Machang, kelmarin. FOTO IHSAN JKDM

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya membongkar kegiatan sebuah syarikat menjual produk ayam gunting yang menggunakan sebanyak 6 tan atau 400 peket ayam beku seludup selepas menyerbu sebuah premis di Machang, dekat sini kelmarin.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 9 pagi selepas Cawangan Risikan Zon Timur, Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.

Menurutnya, kesemua rampasan ayam sejuk beku tanpa permit import itu dianggarkan bernilai RM126,000 termasuk nilai duti sebanyak RM36,000.

“Seorang pekerja yang bekerja di syarikat itu turut ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan mendapati, sindiket itu menyeludup kesemua ayam beku melalui Sungai Golok dan dibawa ke pangkalan haram sebelum ia diangkut menggunakan kenderaan dan disimpan di premis-premis penyimpanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, ayam-ayam sejuk beku itu kemudiannya akan digunakan untuk pengeluaran produk ayam gunting keluaran syarikat tersebut.

Menurutnya, sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi dan tidak terlibat dengan jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI