fbpx
Padel merupakan gabungan gaya permainan antara sukan tenis dan skuasy.

Strategi dan kecepatan asas sukan padel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAHIR dan membesar di Sepanyol membolehkan pemuda itu terdedah dengan persekitaran yang aktif bersukan sejak usia kanak-kanak.

Hal itu membuatkan dia gemar bersukan dan mencuba pelbagai jenis aktiviti bersama rakan-rakan ketika waktu lapang.

Pada usia enam tahun, Jorge Chacon, 23, mula tertarik dengan padel selepas melihat sukan tersebut dimainkan oleh beberapa individu berdekatan rumahnya.

Menurutnya, padel merupakan antara aktiviti rekreasi yang popular dan menjadi rutin sukan harian penduduk di Sepanyol selain bola sepak.

“Hampir setiap hari saya melihat orang bermain padel kerana terdapat gelanggang yang dibina berdekatan dengan rumah saya.

“Tidak kira orang muda atau tua, mereka akan bermain padel hampir setiap hari.

“Disebabkan cara bermain padel yang menyeronokkan, saya tertarik untuk mencubanya,” katanya ketika ditemui K2 di kelab padel dan sosial Ascaro, pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Tambahnya, biarpun pertama kali bermain padel pada usia enam tahun, namun dia tidak berdepan kesukaran untuk belajar dan mengadaptasi cara bermain sukan itu.

Malah, dia dengan mudah dapat memahami cara bermain dan menguasai gelanggang selepas beberapa kali mencuba.

Sejak itu, hampir setiap hari selepas waktu persekolahan, dia pergi bermain padel sebelum bergiat secara serius dan menyertai pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kongsinya, padel merupakan salah satu sukan beraket yang sinonim dengan masyarakat di Amerika Utara dan Eropah sebelum tersebar luas ke seluruh dunia.

Menurut Persekutuan Padel Antarabangsa (FIP), sekitar 25 juta orang dari 90 negara bermain sukan itu ketika ini.

Malah, nama-nama besar arena sukan seperti Lionel Messi, Zlatan Ibrahimovic dan Zinedine Zidane dikatakan kerap bermain sukan tersebut ketika bercuti atau masa lapang.

SALAH seorang pemain padel menunjukkan aksi tersendiri ketika di dalam gelanggang.

Diciptakan di Mexico pada tahun 1969, sukan tersebut merupakan gabungan antara tenis dan skuasy yang juga dikenali sebagai tenis padel atau tenis dayung.

“Padel merupakan permainan yang ideal untuk semua peringkat umur kerana mata dipungut melalui strategi dan bukannya bergantung kepada kekuatan serta ketangkasan semata-mata.

“Ia boleh dimainkan secara solo atau beregu di gelanggang bersaiz 10 x 20 meter iaitu satu pertiga daripada saiz gelanggang tenis biasa.

“Namun, ia dikelilingi dinding kaca dan dibahagikan dengan jaring setinggi paras pinggang,” ujarnya.

Kongsinya lagi, jika tenis memerlukan ketangkasan dan teknik sebagai asas dalam permainan, namun bagi padel strategi dan kecepatan berfikir menjadi kunci utama.

Peraturan bermain padel lebih kurang sama dengan sukan tenis konvensional, kedua-duanya menggunakan sistem skor dan set permainan serupa.

Bagaimanapun, ada beberapa perbezaan dan salah satunya adalah cara melakukan servis.

Dalam padel, pukulan permulaan (serve) dilakukan dengan melantunkan bola yang tingginya tidak boleh melebihi paras pinggang.

“Syarat untuk membalas pukulan, bola mesti melantun dalam gelanggang lawan terlebih dahulu.

“Jika bola terkena dinding kaca atau terkeluar dari gelanggang, ia masih boleh dibalas semula.

“Akan tetapi, jika boleh dipukul keluar dari gelanggang atau terus mengena dinding kaca, maka ia dikira terkeluar,” kongsinya yang juga merupakan jurulatih padel.

Bagi peralatan pula, padel menggunakan raket khusus berbentuk seperti raket tenis tetapi tidak mempunyai jaring.

Sebaliknya, ia menggunakan papan dengan lubang-lubang di atasnya.

Bolanya juga sedikit kecil berbanding bola tenis dan tekanannya (psi) juga lebih rendah untuk mengelak melantun tinggi serta jauh.

Sementara itu, graduan ijazah sukan fizikal itu memberitahu, banyak pemain padel menggunakan dinding kaca sebagai strategi untuk menyulitkan pihak lawan mengembalikan bola.

Dinding kaca boleh menjadi strategi untuk menyukarkan trajektori bola.

Oleh itu, pemain perlu mempunyai pemerhatian dan koordinasi yang baik untuk melihat pergerakan bola serta membalas pukulan pada waktu tepat.

Selain itu, jika ada empat orang yang bermain, ritma dan intensiti permainan boleh menjadi lebih tinggi dan cepat.

“Jadi, mata memainkan peranan penting untuk melihat pergerakan bola sebelum membalas semula pukulan ke pihak lawan.

“Asas bermain padel ini tidaklah sukar, malah untuk orang yang tidak pernah menyentuh raket pun boleh memahami dan bermain selepas beberapa jam mempelajarinya,” katanya.

Dalam usaha melebarkan pengaruh padel di Malaysia, terdapat beberapa pihak yang aktif melaksanakan bengkel dan menyediakan kemudahan gelanggang sukan terbabit.

Kelab Padel dan Sosial Ascaro menjadi antara organisasi terawal yang memperkenalkan sukan rekreasi tersebut di Malaysia.

Menurut Pengasas Bersama Ascaro, Nicholas Caoile, 29, antara sebab dia membawa masuk padel ke Malaysia adalah kerana sukan itu boleh dijadikan sebagai platform sosial.

Katanya, ia juga boleh dimainkan oleh semua orang tanpa mengira tahap kepakaran.

“Saya membuka cabang Ascaro di Malaysia sebagai ruang sosial pada Mei tahun. Pada masa sama, saya membawa sukan padel sebagai salah satu aktiviti di sini.

“Bersama pengasas, Daniel Liljekvist, kami menyediakan empat gelanggang padel yang boleh disewa oleh orang ramai setiap hari,” katanya.

Kongsinya lagi, gelanggang padel boleh disewa dengan kadar antara RM120 sejam pada waktu biasa dan RM160 (waktu puncak) yang boleh ditempah menerusi aplikasi Ascaro.

Caoile berkata, bagi mempromosikan padel, pihaknya juga mengadakan pelbagai aktiviti seperti program, bengkel dan kelas kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya.

Tidak hanya itu, terdapat juga jurulatih profesional yang membimbing pelajar sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

“Sukan ini merupakan platform baharu kepada orang ramai terutama golongan muda untuk bersosial secara lebih sihat.

“Biarpun usaha kami mungkin kecil, namun ia adalah permulaan yang baik untuk membawa sukan padel di Malaysia.

“Kami berharap usaha ini juga dapat melahirkan bakat muda yang boleh mengharumkan nama negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN