fbpx

Samirah, 2 remaja kekal lepas, bebas bunuh CEO Cradle Fund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah (tengah) ketika hadir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA /KOSMO!

PUTRAJAYA – Samirah Muzaffar dan dua remaja kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan lepas dan bebas mereka sebelum ini.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie dan kami mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu,” ujar Hakim Vazeer Alam.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azhahari Kamal.

Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja berusia 18 dan 21 tahun berkenaan.

Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Sebelum ini, pihak pendakwaan semasa berhujah memberitahu percikan darah (blood spatter) pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin Hassan ditemukan adalah berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) Nazrin.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari mengatakan pegawai forensik mengkaji percikan darah Bukit Aman, Asisten Superintenden, Mohd. Nizam Husain (saksi pendakwaan ke-39) telah mengesahkan kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

Sementara peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam penggulungan hujahannya menyatakan, penemuan percikan darah pada dinding di atas kepala katil adalah sesuatu yang pelik dan boleh dianggap `telah diletakkan’ di tempat tersebut.

“Daripada beberapa percikan, hanya tiga sahaja yang dikatakan mempunyai DNA Nazrin yang mana dua daripadanya adalah diragui. Salah satu daripadanya mempunyai campuran DNA Nazrin dan individu yang tidak dikenali. DNA individu tidak dikenali itu tidak sepadan dengan kesemua tertuduh,” ujar Muhammad Shafee.

Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah jelas kematian Nazrin adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan bukannya satu pembunuhan.

Sehubungan itu, peguam terbabit memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga anak guamnya.

Untuk info perbicaraan kes bunuh itu bermula pada 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI