PETALING JAYA – Nafkah kepada isteri merupakan satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh suami mengikut kemampuan masing-masing, bukannya satu pilihan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu hantaran di laman Threads menjelaskan bahawa Islam menetapkan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan keperluan asas kepada isteri seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal berdasarkan kemampuan diri.
“Ini bukan pilihan, ini kewajipan. Nafkah zahir adalah hak isteri yang wajib ditunaikan,” katanya.
Beliau turut berkongsi hadis riwayat Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad yang menjelaskan tanggungjawab suami terhadap isteri termasuk memberi makan dan pakaian seperti mana yang dinikmati suami sendiri.
Selain itu, suami juga diingatkan agar tidak melakukan kekerasan, tidak menghina serta tidak memulaukan isteri kecuali dalam batas yang dibenarkan.
Tambahnya,menurut pandangan ulama termasuk Sheikh Wahbah al-Zuhaili, nafkah yang wajib diberikan merangkumi beberapa aspek utama seperti makanan, keperluan dapur, pakaian, tempat tinggal, kebersihan diri dan peralatan rumah.
Jelasnya, kadar nafkah tidak bersifat tetap, sebaliknya bergantung kepada kemampuan kewangan suami.
“Suami yang kaya memberi nafkah lebih banyak, manakala suami yang kurang berkemampuan memberi mengikut kadar mampu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














