PETALING JAYA – Pempengaruh dan penulis dalam bidang analisis geopolitik, Ahmad Faezal Mohd. Shariff mendedahkan dia tidak dapat meneruskan pelayaran bersama misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selepas diserang demam panas pada saat-saat akhir sebelum pelancaran.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Faezal berkata, keadaan kesihatannya yang merosot pada malam 25 April lalu menyebabkan beliau terpaksa menarik diri daripada menyertai pelayaran dari Sicily, Itali.
Ahmad Faezal berkata, ketika itu dia masih berhasrat untuk bersama kumpulan kapal GSF yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Pada malam 25 saya demam panas dan tidak sempat sembuh untuk pelancaran esoknya dari Sicily,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Menurutnya, sepanjang tempoh 26 hingga 29 April, dia masih dalam keadaan demam selain perlu menguruskan perjalanan dari Sicily ke Rom, Abu Dhabi dan seterusnya kembali ke Kuala Lumpur.
Dalam hantaran sama, Ahmad Faezal memaklumkan sempat bertanya kepada pihak pengurusan kemungkinan untuk dia menyertai misi dari pelabuhan seterusnya.
Bagaimanapun, dia akhirnya mengambil keputusan untuk tidak mengambil tempat individu lain yang telah menunggu giliran.
“Bila tengok balik waktu tu, saya tak nak ambil tempat atau keutamaan orang-orang lain yang dah tunggu ikut saluran. Bila tengok balik waktu sekarang, betapa besa dah keadaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Faezal berkata, misi GSF berdepan detik mencemaskan apabila beberapa kapal dilaporkan telah dipintas pihak tidak dikenal pasti.
Katanya, setakat ini sekitar 22 buah kapal dipercayai telah dipintas termasuk beberapa kapal yang dinamakan seperti Safsaf, Arkham 3 dan Goleta.
Dia turut meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat bersama rakan seperjuangan di lapangan ketika insiden itu berlaku.
“I could have been there. Nak sangat ada dekat situ,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Faezal menjadi calon pertama yang dipilih menyertai pelayaran tersebut bersama misi Sumud Nusantara ke Gaza.
Terdahulu, media melaporkan seramai 10 warga Malaysia terputus hubungan selepas sekurang-kurangnya 10 kapal GSF dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














