fbpx

‘Awang Geman’ dan ‘Mek Mela’ berjaya ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAJAH liar yang dinamakan Awang Geman (tengah) ketika dipujuk gajah denak sewaktu operasi pemindahannya di Kampung Gemunchor, Mukim Cheka Satu dekat Lipis hari ini.

LIPIS – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang berjaya memindahkan dua ekor gajah liar yang sering berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Gemunchor, Mukim Cheka Satu dekat sini.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Muhammad Ashraf Naim Zambri berkata, gajah jantan yang diberi nama ‘Awang Geman’ berusia kira-kira 30 tahun dan memiliki berat sekitar 2.5 tan berjaya ditangkap Jumaat lalu kira-kira pukul 9 pagi.

“Gajah betina yang diberi nama ‘Mek Mela’ berusia sekitar 20 tahun pula ditangkap pada hari Sabtu lalu sekitar pukul 9 pagi.

“Gajah denak iaitu Kasturi dan Cheri yang didatangkan dari PKGK Kuala Gandah memainkan peranan mengiringi serta mengawal gajah liar itu untuk dibawa naik ke atas lori sebelum dibawa keluar daripada Kampung Gemunchor,” katanya di Balai Raya Kampung Gemunchor, Mukim Cheka Satu dekat sini hari ini.

Muhammad Ashraf yang juga ketua operasi berkata, proses memindahkan gajah berkenaan dijalankan cukup rapi dan kedua-dua gajah liar berkenaan berada dalam keadaan sihat serta tidak cedera.

Menurutnya, pemasangan mikrocip dan pengukuran morfologi telah dilakukan sebelum melepaskan kedua-dua gajah liar berkenaan ke habitat asal yang jauh dari orang ramai.

“Pada 31 Januari yang lalu kita telah berjaya menangkap seekor gajah liar yang diberi nama ‘Awang Chur’ dan ia telah dipindahkan ke Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu di Terengganu. Kita percaya kesemua gajah liar ini adalah daripada kumpulan yang sama,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchor, Roslan Idris berkata, pihaknya percaya gajah berkenaan daripada kumpulan gajah liar daripada Hutan Simpan Hulu Tembeling yang memasuki kawasan kampung bagi mencari makanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI