KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar kecil) berkata, Pahang menjadi negeri contoh dan model yang membina ekosistem tahfiz negeri dengan lebih tersusun dan sistematik.
Beliau berkata, Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah, sebaliknya sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.
Katanya, bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa.
“Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada al-Quran sejak usia awal telah pun diterjemahkan di Pahang melalui ilham Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.
“Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, lebih membanggakan, model ini tidak terhenti di Pahang kerana melalui kerjasama Yayasan Pahang dan Kemas sejak tahun 2023, modul tadika Tahfiz Negeri Pahang telah disebarluaskan ke Tabika Kemas seluruh negara.
Katanya, ia melibatkan seramai 146,390 kanak-kanak dalam program ‘huffaz cilik di 9,745 Tabika Kemas.
“Ini membuktikan apabila pendidikan al-Quran disusun dengan visi yang jelas, ia boleh bermula seawal usia kecil, berkembang dalam sistem pendidikan, dan melahirkan generasi yang bukan sahaja dekat dengan al-Quran, tetapi memiliki asas adab, disiplin dan kecintaan kepada ilmu,” katanya.
Menurutnya, penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang diluluskan Kabinet menjadi platform utama menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz di seluruh negara.
Katanya, beliau turut diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikan Majlis Tahfiz Negara berkenaan.
Katanya, ia merupakan satu langkah besar dalam usaha memperkasakan institusi tahfiz serta memastikan golongan huffaz mendapat pengiktirafan yang lebih luas dalam sistem pendidikan dan pembangunan negara.
“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu dirai dalam majlis, tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.
“Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” ujarnya.














