fbpx

Cadangan mansuh pencen terpakai untuk ahli politik – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika ditemui pemberita di Restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas, di sini hari ini. -Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Cadangan memansuhkan pencen untuk pelantikan penjawat awam juga terpakai kepada ahli politik termasuk wakil rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut, namun akan dimuktamad berdasarkan kajian yang diperoleh.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak melibatkan ahli politik. Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, Menteri, Timbalan Perdana Menteri.

“Itu dalam Perlembagaan, kita boleh kaji, (perkara) itu tidak boleh kebelakangkan retrospektif, untuk baharu kita boleh kaji.

“Secara prinsip saya bersetuju apa jua keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai untuk lantikan politik, tapi ia akan dimuktamadkan selepas kajian dibawa dan Jemaah Menteri memutuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas, di sini hari ini.

Anwar kemudian dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan.

Mengulas cadangan agar penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, Anwar berkata, perkara itu akan dimuktamadkan selepas meneliti pandangan pelbagai pihak.

“Semua kerajaan daripada Perdana Menteri sebelum ini menyatakan mana-mana negara sekali pun dengan keadaan ekonomi (seperti ini) tidak akan bertahan jika tiada sesuatu yang dilakukan.

“Jadi dengar dahulu cadangan dikemukakan, bahas dahulu dan bagi pandangan apa ubahsuai yang kerajaan perlu lakukan kemudian kita akan muktamadkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru selepas 1 Februari adalah tidak berpencen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI