KANSAS – Ketua Jurulatih Belanda, Ronald Koeman dan kaptennya, Virgil Van Dijk menzahirkan keyakinan tinggi mengenai kemampuan pasukan itu untuk berdepan aksi sulung di Piala Dunia menentang Jepun awal pagi esok.
Para penyokong The Oranje dalam situasi resah ketika ini selepas pasukan mereka gagal mempamerkan aksi yang memberangsangkan dalam beberapa aksi persahabatan, rekod Koeman yang tidak konsisten serta Van Dijk yang hadir dengan musim tanpa trofi.
Prestasi lawan mereka, Jepun yang bakal ditentang di Stadium Kansas City juga turut menambah kebimbangan ketara dalam kalangan penyokong yang berharap Belanda mampu meraih kemenangan pada aksi pertama.
Koeman mengambil alih tugas di Belanda pada 2023 dan berjaya membawa skuad itu meraih tempat keempat dalam saingan Piala Negara-Negara Eropah dan separuh akhir Euro 2024, namun prestasi kebelakangan ini juga agak mengecewakan.
Belanda tewas pada aksi terakhir di negara sendiri apabila tewas 0-1 menentang Algeria dan hanya mencatat kemenangan tipis ke atas Uzbekistan menerusi dua sepakan penalti oleh Cody Gakpo menyebabkan pertemuan menentang Jepun dianggap medan ujian penting.
“Kami telah menganalisis mereka dan kami tahu bahawa mereka kuat sebagai satu pasukan. Mereka sangat kuat dari segi fizikal dan sudah tentu ia bukan tugas yang mudah. Kami percaya kepada diri sendiri.
“Kami menghormati Jepun, tetapi kami adalah Belanda, jadi mereka juga akan menghormati kami. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami penuh keyakinan,” kata Koeman.
Sementara itu, Van Dijk mahu rakan sepasukannya mengabaikan segala pandangan negatif mengenai pasukan itu dan memberikan fokus untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
“Kami hanya fokus kepada perkara yang benar-benar berada dalam kawalan kami. Kami akan cuba melakukannya sebaik mungkin,” jelasnya. – AGENSI














