KUALA TERENGGANU – Niat seorang penjawat awam menambah pendapatan dengan pekerjaan sampingan bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM55,334 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita berusia 33 tahun itu tertarik dengan iklan tawaran yang dilihatnya menerusi Instagram pada pukul 1.23 tengah hari, Isnin lalu.
“Sebaik menekan pautan diberi, mangsa ditawarkan pekerjaan sambilan melakukan pengesahan produk menerusi platform digital,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, penjawat awam itu seronok apabila terus menerima bonus RM40 sebaik melakukan pendaftaran akaun digital terbabit sebelum meraih RM1,176 bagi tiga tugasan awal.
Beliau berkata, wanita tersebut yang semakin yakin seterusnya ditawarkan tugasan baharu turut melibatkan empat individu lain dengan bermodalkan RM3,350.
“Begitupun sebaik tugasan selesai, mangsa didakwa kononnya melakukan kesilapan dan dikenakan penalti RM16,450.
“Dia akur membuat pembayaran kerana tidak sampai hati apabila dimaklumkan kononnya salah seorang individu yang turut sama-sama membuat tugasan tersebut merupakan suri rumah yang mempunyai anak sakit tenat,” katanya.
Azli berkata, penjawat awam itu kembali ghairah apabila modal dan komisyennya kononnya berjumlah RM32,000 telah dikembalikan malah keuntungannya telah meningkat 200 peratus kepada RM440,000.
“Mangsa kemudiannya membuat pembayaran baharu berjumlah RM35,534 kononnya bayaran cukai lapan peratus bagi pengeluaran keuntungan terbabit namun menyedari tertipu apabila wang tersebut gagal dikeluarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














