KUANTAN – Seorang pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengalami kerugian sebanyak RM472,000 selepas terperdaya dengan kes penipuan melalui panggilan telefon.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian bermula 30 Mac lalu selepas mangsa yang berusia 71 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC.
“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang individu lain yang menyamar sebagai anggota polis dan suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah.
“Bagi tujuan siasatan palsu tersebut, mangsa telah diarahkan mengeluarkan kesemua wang simpanan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa telah membuat transaksi wang ke lima akaun bank berbeza melalui mesin deposit tunai di KotaSAS Kuantan bermula 7 April 2026 hingga 8 Mei 2026.
Katanya, mangsa turut diarahkan membuang resit transaksi selepas selesai membuat pembayaran.
“Akibat terperdaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM472,000 melibatkan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB), wang simpanan dan wang pencen.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek masih meminta wang tambahan kononnya bagi tujuan jaminan,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, orang ramai diingatkan agar tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, khususnya yang mendakwa sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasa atau institusikewangan.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Mangsa penipuan juga disarankan agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan segera.
“Selain itu, masyarakat turut dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














