BUNYI deringan telefon hari ini mungkin lebih menakutkan berbanding bunyi pistol satu ketika dahulu.
Tanpa perlu mengacukan senjata atau memecah masuk rumah, sindiket penipuan kini hanya memerlukan telefon pintar, akaun bank dan internet untuk melesapkan wang mangsa dalam tempoh singkat.
Jenayah komersial kini berkembang menjadi antara ancaman terbesar kepada masyarakat apabila modus operandi sindiket dilihat semakin canggih dan tersusun.
Jika dahulu masyarakat lebih takut kepada penjenayah jalanan, kini ramai hidup dalam kebimbangan menjadi mangsa scammer yang mampu memperdaya sesiapa sahaja.
Banyak kes penipuan dilaporkan termasuk Macau scam, penipuan pelaburan dan kerja sambilan. Lebih membimbangkan, jenayah ini tidak lagi dilakukan secara kecil-kecilan, sebaliknya beroperasi seperti sebuah syarikat lengkap dengan pusat panggilan.
Sindiket menggunakan teknologi seperti ‘spoofing’ (teknik penyamaran) nombor telefon bagi memperdaya mangsa seolah-olah panggilan dibuat oleh agensi sebenar.
Perkembangan teknologi digital menjadikan jenayah scam semakin sukar dibendung kerana semuanya boleh dilakukan hanya dari belakang skrin telefon atau komputer.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 64,643 laporan diterima dari Januari hingga Mac lalu berbanding 57,260 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, peningkatan itu melibatkan pertambahan 7,383 laporan.
Katanya, jenayah penipuan dalam talian kekal menjadi penyumbang terbesar dalam kategori jenayah komersial melibatkan modus operandi seperti jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan palsu.
Pakar Kriminologi, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, jenayah komersial dan penipuan online menjadi ancaman utama kerana sifatnya yang pantas, sukar dikesan serta mampu menyasarkan mangsa tanpa batas geografi.
“Perkembangan teknologi digital, media sosial, perbankan dalam talian dan transaksi tanpa tunai membuka lebih banyak ruang eksploitasi kepada penjenayah,” katanya.
Kesan jenayah itu bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah trauma emosi, hilang keyakinan diri dan tekanan mental.
Sindiket juga mahir menggunakan teknologi dan psikologi secara serentak dengan mengeksploitasi emosi seperti takut, panik dan terdesak.
“Mereka menyamar pegawai polis, mahkamah, bank atau agensi kerajaan menggunakan nombor telefon rasmi sebelum mendesak mangsa memindahkan wang.
“Apabila seseorang berada dalam keadaan takut atau cemas, kemampuan untuk berfikir secara rasional akan menurun,” ujarnya.
Golongan profesional juga mudah menjadi mangsa kerana penipuan hari ini sangat sofistikated selain disesuaikan mengikut latar belakang mangsa menerusi teknik ‘social engineering’.
“Masyarakat perlu faham scam boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan budaya semak perlu jadi amalan harian.
“Pendidikan keselamatan digital juga perlu diperkasakan kerana ia bukan isu teknologi semata-mata, tetapi keselamatan sosial dan ekonomi negara,” katanya.














