fbpx
Gambar hiasan

Rugi hampir RM100,000 diperdaya dua skim pelaburan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Rambang mata dijanjikan keuntungan pantas dalam amaun besar, seorang penjawat awam kerugian RM99,276.64 akibat diperdaya dua skim pelaburan tidak wujud dalam tempoh 10 hari.

Lebih menyedihkan, selain simpanan peribadi, wanita berusia 38 tahun tersebut sanggup menggadai barangan kemasnya bagi dijadikan modal pelaburan palsu terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, penjawat awam itu tertarik dengan iklan skim pelaburan yang dilihatnya menerusi aplikasi Telegram pada pukul 2 petang, 1 Mei lalu.

“Mangsa yang terpersona dengan jaminan kononnya keuntungan lumayan boleh diperolehi dalam tempoh enam jam selepas pelaburan dibuat telah menyertai pakej permulaan bernilai RM1,000.

“Dia kemudiannya mengikut arahan suspek membuat pembayaran tambahan berjumlah keseluruhan RM48,965 kononnya bagi pengeluaran keuntungan,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, biarpun masih belum menerima keuntungan dijanjikan, wanita terbabit menyertai satu lagi skim pelaburan lain yang juga diiklankan menerusi aplikasi Telegram pada 11 Mei lalu.

Beliau berkata, penjawat awam berkenaan yang tertarik dengan janji kononnya keuntungan boleh diperolehi dalam tempoh 30 minit sahaja telah membuat pelaburan keseluruhan RM50,311.64 antara Isnin hingga kelmarin.

“Begitupun, dia mula curiga dan menyedari dirinya sudah tertipu buat kali kedua apabila membuat pembayaran baharu berjumlah RM38,527,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN