MEMPUNYAI gelagat yang comel, bulu yang lembut dan ‘nakal’ membuat kucing disayangi ramai.
Kucing telah menjadi haiwan kesayangan di seluruh dunia sehingga ada bandar-bandar tertentu yang bukan sahaja menjaga dan melindunginya tetapi memberi perhatian kepada haiwan comel ini dalam kehidupan seharian termasuk menyediakan pelbagai kemudahan, kafe, galeri dan jualan.
Sehubungan itu, minggu ini CitaRasa kongsikan lima bandar di dunia yang paling mesra dan cintakan kucing meliputi keunikan dalam ‘mengalu-alukan’ kewujudan kucing, mengangkatnya sebagai haiwan kesayangan dan terdapat pelbagai kemudahan bertemakan kucing seperti dilaporkan cats.com.
1) Kuching, Malaysia

DI tempat pertama ialah Kuching, Malaysia yang terkenal sebagai destinasi eksotik bagi pencinta kucing. Dikenali sebagai bandar kucing, Kuching ialah ibu negeri Sarawak. Perkataan ‘kuching’ bermaksud kucing tetapi tiada siapa yang tahu mengapa nama ini dipilih secara khusus. Namun terdapat pelbagai teori dan mitos di sebalik namanya.
Bagaimanapun, penduduk Kuching telah menerima kucing sebagai lambang bandar mereka. Dengan patung kucing di seluruh bandar, galeri yang mempamerkan banyak karya seni kucing dan juga muzium kucing, Kuching menjadi destinasi yang menggembirakan buat pencinta haiwan comel itu.

2) Orlando, Amerika Syarikat
PADA tahun 2023, syarikat penjagaan rumput LawnStarter telah menyenaraikan bandar-bandar terbaik di Amerika Syarikat (AS) untuk pencinta kucing dan Orlando mendapat markah tertinggi. Kedudukan ini berdasarkan empat kategori utama iaitu akses kucing, akses penjagaan, perumahan dan penginapan mesra kucing dan kemampuan milik.
Data utama termasuk bilangan doktor haiwan, kedai haiwan peliharaan, hartanah dan hotel sewa mesra kucing, penjaga kucing, kemudahan penginapan kucing dan banyak lagi.
Orlando mempunyai paling ramai pengasuh kucing dan pilihan asrama kucing bagi setiap 100,000 penduduk serta banyak lagi tawaran mesra kucing, menjadikannya bandar nombor satu di AS untuk kucing.
3) Rom, Itali
BANDAR Rom terkenal dalam kalangan pelancong kerana mempunyai banyak kucing jalanan. Dianggarkan kira-kira 300,000 ekor kucing tinggal di Rom, dengan hampir separuh daripada jumlah itu adalah kucing liar atau kucing yang berkeliaran bebas.
Penduduk di bandar itu dikenali sebagai gattaras yang menjaga kucing-kucing jalanan. Rom sangat menyayangi kucingnya dan juga mempunyai undang-undang untuk melindungi haiwan itu.
Kucing bukan sahaja dibenarkan untuk tinggal dan makan di mana-mana sahaja. Mencederakan kucing adalah satu kesalahan yang boleh dihukum dan pihak berkuasa tempatan dikehendaki untuk memandikan serta mensterilkan kucing yang berkeliaran bebas tanpa sebarang bayaran.
Terdapat beberapa santuari kucing Rom yang popular termasuk Torre Argentina Cat Sanctuary, Colina Felina Piramide dan Colina Felina Verano.

4) New York, AS
NADA mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa orang-orang di New York juga menyukai kucing. Menurut Bandar Terbaik 2023 untuk Pencinta Kucing LawnStarter, bandar raya New York mempunyai kafe kucing paling banyak berbanding bandar lain di AS.
Kafe kucing adalah tempat yang indah, pencinta kucing boleh melepak, menikmati minuman atau makan, bermain dengan kucing dan juga mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan untuk dibawa pulang. Banyak kafe kucing menganjurkan majlis hari jadi dan pelbagai acara lain.

5) Yakana, Jepun
JEPUN sememangnya menyukai kucingnya. Negara ini merupakan tempat kelahiran maneki-neko ikonik atau ‘kucing yang memanggil’ – patung yang menggambarkan seekor kucing dengan sebelah kakinya diangkat yang dianggap membawa tuah.
Sebuah bandar di Jepun telah membawa kecintaan terhadap kucing ke tahap yang ekstrem. Yakana juga dikenali sebagai Bandar Kucing Yakana di luar Tokyo. Ia menawarkan suasana bandar kecil yang menyenangkan seperti Tokyo lama dan kucing terdapat di setiap sudut.
Pekan ini yang terkenal dengan tempat membeli-belah telah mendapat nama jolokan ‘bandar kucing’ selepas banyak kedai mula menjual barangan bertemakan kucing.













