IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Perekodan Kokurikulum secara manual sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian bagi mengurangkan beban tugas guru.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan kokurikulum mengikut kesesuaian dan kreativiti sebelum mencatatkan maklumat kokurikulum murid dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Katanya, sistem PAJSK juga perlu disepadukan dengan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) bagi memperkemas dan meningkatkan kecekapan urusan secara lebih sistematik.
“Komitmen kementerian adalah untuk terus memastikan beban guru (dikurangkan) dan mereka dapat memberi perhatian kepada semua ikhtiar pendidikan. Maka dengan itu, Sistem Perekodan Kokurikulum secara manual dihapuskan. Ini bermakna, guru-guru boleh fokus pada kelas dan murid,” katanya ketika berucap pada sambutan Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di sini, hari ini.
Menurut Fadhlina, pemansuhan sistem tersebut merupakan satu daripada 12 inisiatif untuk warga pendidik sempena sambutan hari guru pada tahun ini.
Beliau berkata, antara berita gembira lain untuk warga pendidik ialah peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menyelenggara dan naik taraf bilik guru menjadikan jumlah keseluruhan untuk tujuan tersebut adalah RM200 juta.
“KPM juga memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters. Dengan ini, peruntukan bagi tujuan ini adalah sebanyak RM 110 juta dan tentunya berupaya memastikan guru-guru mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.
Tambah beliau, bagi menyokong pembangunan profesional para pendidik dalam literasi digital, kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 (L1) dan Tahap 2 (L2) diteruskan secara percuma kepada semua guru.
Katanya, ikhtiar itu membawa manfaat kepada semua guru yang melibatkan kos bagi setiap seorang guru sebanyak RM40 bagi GCE L1 dan RM100 bagi GCE L2.
“Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas juga disediakan kepada guru-guru yang sanggup berkorban untuk mengajar di sekolah rintangan di bawah Projek Kelas Khas (ProKhas) seperti di Sekolah Dalam Hospital, Sekolah Terapung, sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 dan P3.
“Selain itu, Biasiswa Perguruan Persekutuan juga diberikan kepada pemimpin sekolah termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana,” katanya.
Beliau berkata, dalam memperkasa budaya membaca di peringkat prasekolah, KPM memperkenalkan Program PAKAT dengan peruntukan sebanyak RM10.5 juta untuk menyediakan bahan bacaan tambahan bagi semua 10,515 buah kelas prasekolah seluruh negara.
“Bagi menyokong program-program di sekolah, KPM juga memperuntukkan sebanyak RM122.4 juta bagi pusingan pertama dalam menyokong program strategik sekolah dan murid,” katanya. – KOSMO! ONLINE














