PETALING JAYA – Isu buli dan gangguan terhadap pelajar asrama kembali menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads mendakwa adik lelakinya menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral oleh rakan sebilik sendiri.
Menerusi perkongsian @deenacik09, wanita itu mendakwa adik lelakinya yang berusia 13 tahun menjadi mangsa buli dan gangguan seksual ketika berada di asrama sekolah.
Dalam hantaran tersebut, dia turut meminta pihak warden serta pengawal keselamatan meningkatkan rondaan pada waktu malam bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin.
“Tolong! Warden asrama pantau anak-anak setiap malam dan minta pengawal keselamatan membuat rondaan sekitar pukul 11 malam hingga 2 pagi kerana tidak semua murid sudah tidur,” tulisnya.
Wanita itu berkata, adiknya pulang ke rumah dalam keadaan tertekan sebelum mengadu dibuli di asrama.
“Jumaat semalam adik aku balik dari asrama pukul 7 malam, dia cakap dia penat. Lepas tu dia menangis cakap ‘orang penatlah, dah lah kat asrama kena buli’,” katanya.
Dia mendakwa keluarganya kemudian cuba mendapatkan penjelasan lanjut sebelum remaja itu mengaku takut selepas didakwa diganggu oleh rakan sebilik dipercayai berusia 14 tahun.
“Adik aku nangis lama sangat macam takut sangat-sangat. Dia cakap takut nak jawab sebab takut mak kecewa dan takut kalau cikgu tahu nanti budak itu kena buang sekolah,” katanya.
Menurutnya, mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di asrama.
“Adik aku bangun dan cakap seluar dalam dia kena buka. Bila pergi tandas dia rasa sakit dan pedih (bahagian belakang),” dakwanya lagi.
Sementara itu, netizen turut meluahkan kemarahan dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku selain meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
“Buat laporan polis. Budak sekarang ni jangan bagi muka, tak kira la saudara atau tidak. Bagi pengajaran. Melampau sangat ni,” komen nurulsyahirahh95.
“Tapi kan… adik saya pernah kena buli di asrama. Tapi sebab budak tu anak somebody (orang berpengaruh), laporan kepada cikgu tak jalan. Lapor polis pun tak jalan. Cikgu suruh pindah sekolah, padahal budak tu dah banyak buat hal dan ramai mangsa dah buat laporan polis,” kata @sweettt_honey01.
“Kalau kes macam ni, kena buat laporan ramai-ramai. Kumpul laporan. Mungkin @capricedaddycap boleh tolong,” tulis @25bukanputeri. – KOSMO! ONLINE














