fbpx
Anwar (tiga dari kiri) ketika menghadiri Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di Ipoh hari ini. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI/ KOSMO!

‘Dahulu mereka tak mahu bincang dalam bahasa Melayu, sekarang sudah boleh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Perubahan sikap ditunjukkan pemimpin-pemimpin guru sekolah persendirian Cina dalam tempoh 40 tahun membolehkan kerajaan membuat keputusan berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu, pemimpin-pemimpin guru sekolah persendirian Cina mengambil sikap enggan berbahasa Melayu sewaktu mengadakan perbincangan dengannya.

Beliau berkata, pihak kerajaan menghadapi kesukaran untuk memberikan ruang kepada pihak berkenaan kerana pada masa itu sekolah-sekolah Cina terpisah langsung dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Menerusi beberapa pertemuan dengan saya, pemimpin-pemimpin guru tersebut enggan berbicara sepatah pun dalam bahasa Melayu. Saya bersabar dan mendengar Ketua Pengarah Pendidikan masa itu, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berbisik kepada saya, Anwar minta maaf, saya terpaksa keluar dari majlis ini, saya tidak dapat tahan sikap sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Anwar berkata, perkara itu bagaimanapun bukan lagi menjadi satu isu memandangkan golongan berkenaan telah menunjukkan perubahan sikap.

“Demikian pertembungan antara sekolah persendirian Cina dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Itu 40 puluh tahun lalu, sekarang semua orang persatuan bercakap dalam bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, sekolah-sekolah Cina tersebut lebih 80 peratus daripadanya yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“KIta luluskan peraturan ini, kita tetapkan syarat mesti lulus ataupun kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah untuk melayakkan mereka mendapatkan ruang pergi ke universiti. Jadi (syarat itu) terpakai untuk semua,” katanya yang turut memberitahu ia merangkumi sekolah antarabangsa, maahad tahfiz dan Arab.

Pada masa sama, Anwar berkata, biarpun kerajaan mengambil pendekatan bertolak ansur, ia tidak melibatkan aspek penguatkuasaan bahasa Melayu lebih-lebih bagi warganegara Malaysia.

“Mahu menjadi rakyat Malaysia, mesti faham sejarah kita, perlembagaan negara, sejarah kemerdekaan, sejarah perjuangan yang lalu, pertempuran terhadap penjajah Inggeris, Belanda dan Portugis sebelum ini. Sekali lagi mesti mengetahui,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN